Abang Johari, isteri beri penghormatan akhir kepada mendiang Masing

Afiezul Samit
November 3, 2021 09:08 MYT
Abang Johari dan isteri hadir ke Dewan Persatuan Gereja-Gereja Sarawak bagi memberi penghormatan akhir kepada mendiang Masing. - Foto Astro AWANI.
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tiba menghadiri majlis penghormatan akhir buat mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing.
Beliau hadir ditemani isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang tiba di Dewan Persatuan Gereja Sarawak, Jalan Stampin pada jam 8.59 pagi.
Turut mengiringi Abang Johari, menteri-menteri Kabinet, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Antara pemimpin negeri yang hadir termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum.
Terdahulu, jasad mendiang Tan Sri James Jemut Masing dibawa ke Dewan Utama Persatuan Gereja-Gereja Sarawak di Jalan Stampin Kuching sekitar jam 6.55 pagi hari ini.
Majlis penghormatan akhir berlangsung pada pukul 8.30 pagi hingga 10.30 pagi manakala untuk orang kenamaan manakala bagi orang awam akan bermula pada pukul 10.30 pagi hingga 1.30 petang.
Justeru, hanya 30 orang awam dibenarkan untuk memberi penghormatan dalam satu-satu masa dan dihadkan kepada lima minit seorang.
Jasad mendiang kemudiannya akan dibawa ke Nirvana Memorial Park di Jalan Siniawan Bau selepas selesai upacara penghormatan akhir sekitar jam 2 petang.
Mendiang Masing dilaporkan meninggal dunia pada Ahad selepas mengalami komplikasi setelah disahkan positif COVID-19 sebelum itu.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.05 pagi di Normah Sarawak Medical Centre, Kuching.
#penghormatan akhir #Masing meninggal dunia #komplikasi COVID-19 #SOP penghormatan akhir
;