Abang Johari disahkan positif COVID-19
Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 8, 2022 11:27 MYT
Mac 8, 2022 11:27 MYT
MIRI: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg disahkan positif COVID-19.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Wanita, Kanak-Kanak dan Masyarakat Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
“Saya ingin menyampaikan salam kemaafan daripada yang amat berhormat Tan Sri Abang Johari Premier Sarawak.
“Kami menerima berita pada jam 9 malam tadi bahawa beliau tidak dapat hadir untuk merasmikan majlis kita pada pagi ini kerana beliau telah disahkan positif COVID-19.
“Sama-sama kita doakan agar Premier Sarawak kita cepat sembuh seperti sedia kala,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Hotel Pullman Miri pada Selasa.
Abang Johari dijadualkan menghadiri program itu hari ini bagi merasmikan majlis tersebut.
Bagaimanapun setakat ini belum ada pemakluman rasmi daripada Pejabat Premier Sarawak berhubung perkara itu.