Abang Jo ucap tahniah Wan Junaidi diangkat sebagai Gabenor Sarawak

Fadilah Sulaiman
Januari 26, 2024 07:30 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah berkenan bergambar bersama Wan Junaidi dan isteri selepas Istiadat Pengurniaan Surat cara Pelantikan di Istana Negara semalam. --fotoBERNAMA
KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat pengalaman luas Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, selama 34 tahun perkhidmatannya dalam arena politik akan terus menyumbang kepada Sarawak sebagai Yang Dipertua Negeri baharu.
Wan Junaidi, 77 tahun, telah berkhidmat di peringkat tertinggi dalam pentadbiran Kerajaan Persekutan dan pada masa sama menjadi wakil rakyat Sarawak selama tujuh penggal sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong dan kemudiannya Santubong.
“Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) kita yang baharu, Wan Junaidi, dan sudah tentu dengan pengalamannya, beliau boleh memberi sumbangan khidmat kepada kita di negeri Sarawak.
“Dan juga disebabkan oleh pengalamannya di peringkat persekutuan. Bermakna, ada kedua-dua pengalaman di peringkat persekutuan serta negeri. Jadi, kita ucap tahniah,” katanya.
Abang Johari menzahirkan ucap tahniah kepada Wan Junaidi atas pelantikannya sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan ketika ditemui media pada Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas SABERKAS Negeri Sarawak, di Hotel Pullman, dekat sini, semalam.
Terdahulu, bekas Speaker Dewan Negara itu dilantik sebagai Gabenor Sarawak baharu, sekali gus menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud untuk tempoh empat tahun berkuat kuasa 26 Jan 2024 hingga 26 Jan 2028.
Wan Junaidi dijadual mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 29 Jan ini.
#Abang Johari Tun Openg #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Gabenor Sarawak #Yang Dipertua Negeri Sarawak
;