Abang Jo sokong Adenan KM baharu
Ashwad Ismail
Februari 13, 2014 11:42 MYT
Februari 13, 2014 11:42 MYT
Timbalan Presiden II Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Abang Johari Abang Openg menyeru ahli dan pimpinan PBB supaya memberikan sokongan penuh kepada Tan Sri Adenan Satem yang telah dinamakan sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak yang baharu.
Abang Johari menerima baik pemilihan Adenan yang disifatkan cerminan konsensus PBB yang mengutamakan kepentingan rakyat.
"Perjuangan adalah pengorbanan. Pangkat dan darjat bukan keutamaan," kata Abang Johari dalam sidang media di pejabatnya, Khamis.
Pada masa yang sama, beliau melihat Adenan berupaya menjadi arkitek politik di Sarawak dalam senario semasa yang cukup mencabar sekarang.
"Keutuhan dan kedaulatan Sarawak lebih penting lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri 2016 dan PRU-14 2018," ujar Abang Johari.
Abang Johari adalah seorang daripada tiga yang disebut-sebut sebelum ini sebagai calon Ketua Menteri Sarawak yang bakal menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Abdul Taib pada Rabu mengumumkan perletakan jawatannya berkuat kuasa pada 28 Februari ini dan menamakan Adenan sebagai penggantinya.
Beliau juga menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri pada Rabu.
Abang Johari yang juga ADUN Satok meyifatkan peralihan kuasa Ketua Menteri Sarawak sebagi satu proses peralihan yang lancar dan stabil yang akan disusuli dengan proses pengubahsuaian agar sesuai dengan corak kepimpinan.
"Saya percaya perjanjian perpaduan tokoh-tokoh kanan PBB dan BN di bawah Adenan dapat meneruskan agenda pembangunan ke arah Sarawak maju 2030," ujar Abang Johari.
#Abang Johari Abang Openg
#Abdul Taib Mahmud
#Adenan Satem
#Parti Pesaka Bumiputera Bersatu
#PBB
#Sarawak