Abang Jo saran i-CATS bangunkan bateri mesra alam

Bernama
September 20, 2023 17:58 MYT
Abang Johari berkata walaupun bateri litium cekap untuk menyimpan kuasa, ia bukanlah yang paling mesra alam kerana sukar untuk dilupuskan. -Gambar Bernama
KUCHING: Institusi pendidikan teknikal milik kerajaan negeri, Kolej Universiti i-CATS perlu meneroka kemungkinan membangunkan bateri yang lebih mesra alam sebagai pengganti kepada bateri litium.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pada zaman elektrifikasi, bateri yang kebanyakannya diperbuat daripada litium pada masa ini adalah penting untuk menggerakkan gajet dan juga kereta elektrik.
Beliau berkata walaupun bateri litium cekap untuk menyimpan kuasa, ia bukanlah yang paling mesra alam kerana sukar untuk dilupuskan.
"Selepas lima hingga 10 tahun, kadangkala anda perlu melupuskan bateri (litium) dan litium sebagai sebahagian besar bateri tidak mudah dibuang.
"Pada masa ini, kajian telah dijalankan oleh saintis untuk melihat kemungkinan menggunakan bahan gantian daripada litium, mereka juga sedang meneliti ion zink sebagai pengganti," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kilang baharu Fuya Energy Sdn Bhd di sini hari ini.
-- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg #bateri litium cekap #mesra alam #kereta elektrik
;