Abang Jo minta rakyat Sarawak ambil serius amaran MetMalaysia
Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 25, 2021 14:42 MYT
Disember 25, 2021 14:42 MYT
KUCHING: Rakyat Sarawak dinasihatkan untuk mengambil serius amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Saranan dibuat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg susulan ramalan dan nasihat MetMalaysia Rabu lalu mengenai kebarangkalian kejadian hujan lebat yang berterusan yang akan melanda bahagian barat negeri ini minggu depan.
MetMalaysia dalam kenyataan tersebut mendedahkan berdasarkan analisis sistem kaji cuaca akan berpotensi berlakunya hujan lebat berterusan di kawasan tertentu menjelang 27 hingga 29 Disember akibat daripada gelombang monsun.
“Atas faktor ini Ketua Menteri Sarawak memohon agar masyarakat terutamanya mereka yang tinggal di kawasan yang kerap berlaku banjir untuk bersedia dengan kebarangkalian sebarang pemindahan seperti yang diarahkan pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri pada Sabtu.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khiruddin Drahman berkata, pasukannya kini pada tahap 90 peratus sedia dari segi peralatan darat dan air untuk menghadapi bencana alam terutama banjir.
Setakat hari ini lebih 390 rondaan pemantauan banjir dilakukan oleh pihak JBPM di seluruh Sarawak melibatkan tujuh zon iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.
Sementara melalui data terkini Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Malaysia status aras air di Sarawak di stesen Punan Bah B, Belaga dan Nanga Merit, Kapit berada pada status waspada (kuning) namun dengan trend menurun.