Abang Jo bakal umum penemuan baharu berkaitan tenaga hijau, perubatan

Bernama
April 22, 2023 15:48 MYT
Abang Johari berkata dapatan kajian mengenai penemuan berkenaan akan diumumkan pada awal bulan depan iaitu sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 yang dijadualkan dari 15 hingga 24 Mei. - Fail/BERNAMA
KUCHING: Kerajaan Sarawak berjaya mencatat penemuan baharu berkaitan tumbuh-tumbuhan yang dijangka memanfaatkan sektor tenaga hijau dan perubatan di negeri itu untuk jangka masa panjang, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata dapatan kajian mengenai penemuan berkenaan akan diumumkan pada awal bulan depan iaitu sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 yang dijadualkan dari 15 hingga 24 Mei.
"Ia ada kaitan dengan tanaman alga dan satu lagi tumbuhan yang belum diterokai secara mendalam. Saya yakin bahawa dengan adanya kajian ini, kita akan dapat (manfaat) bukan sahaja untuk tenaga hijau tetapi dari sudut perubatan.
"Ini adalah satu breakthrough dari sudut tenaga hijau dan juga tenaga boleh diperbaharui yang sangat dikehendaki dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Katanya tumbuhan yang dimaksudkan berkemungkinan hanya boleh didapati di Bumi Kenyalang dan kajian itu berhubung kait dengan keadaan cuaca serta iklim di Malaysia.
Sementara itu Abang Johari berkata pengumuman pada awal Mei nanti akan turut menyentuh perihal perkembangan terkini syarikat penerbangan butik di Sarawak.
Beliau berkata pengoperasian syarikat penerbangan milik Sarawak itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh kurang tiga tahun lagi.
Pada 5 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik bagi meredakan keadaan kadar tambang yang mahal khususnya di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
Majlis rumah terbuka Abang Johari yang berlangsung dari 10.30 pagi hingga 4 petang itu menerima kira-kira 5,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta tetamu kehormat.
-- BERNAMA
#Penemuan baharu #Abang Johari Tun Openg #sektor tenaga hijau #Premier Sarawak
;