Abang hiba pangku mayat adik lemas di Sungai Tabanak

Sinar Harian
Februari 3, 2024 19:48 MYT
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Mohammad Juiqram ditemukan lemas di Sungai Tabanak, Kampung Tabanak, Lahad Datu. -Foto Sinar Harian
LAHAD DATU: Luluh hati seorang abang apabila menemui jasad adiknya yang sudah tidak bernyawa di Sungai Tabanak di Kampung Tabanak, pada Sabtu.
Mayat Mohammad Juiqram Julmasalleh, 11, ditemukan 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas kira-kira jam 11.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua dimulakan seawal jam 6 pagi.
"Mangsa lemas telah dijumpai oleh abangnya sendiri 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas dan disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, susulan penemuan mayat mangsa tersebut, operasi ditamatkan pada jam 12 tengah hari.
Dua kanak-kanak 11 tahun ditemukan lemas
Dalam kejadian Jumaat, dua kanak-kanak dilaporkan lemas namun seorang mangsa Nur Naufal Iqbal Mohammed Nizam, 11, sempat diselamatkan orang ramai.
Kedua-dua mangsa sebelum itu sedang melakukan aktiviti mandi di sungai tersebut bersama rakan mereka. -Sinar Harian
#Juiqram Julmasalleh #kanak-kanak lemas #Sungai Tabanak #Nur Naufal Iqbal Mohammed Nizam
;