Abang harap adik dikenakan hukuman setimpal selepas bunuh ibu
Dewi Nur Harasha Alias
September 25, 2018 19:33 MYT
September 25, 2018 19:33 MYT
Anak sulung warga emas yang dibunuh dan ditemui di tangki kumbahan najis, Muhammad Fauzi Ismail berharap hukuman setimpal akan dikenakan ke atas adiknya susulan tindakan kejam membunuh ibu mereka.
Bagaimanapun, Muhammad Fauzi juga berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian ibu tersayang, Faridah Mat Hashim, 63 tahun.
Mencerita lebih lanjut, Muhammad Fauzi berkata, adiknya mempunyai masalah ketagihan menghidu petrol sejak sekian lama tetapi tidak menyangka bertindak agresif hingga sanggup membunuh ibu sendiri.
"Kami (keluarga) sudah habis fikir macam mana nak pulihkannya. Sebelum ini dia pernah mengacu pisau ke arah arwah kakak kami dan kalau dia ada dia akan membahayakan keluarga saya.
"Saya harap dia dibawa ke muka pengadilan dan hukuman setimpal dikenakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas ucapara pengebumian jenazah allahyarham Faridah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Qaryah Sungai Burung,Balik Pulau petang tadi .
Jenazah dikebumikan kira-kira jam 3 petang dengan kehadiran ahli keluarga, saudara-mara dan jiran.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Qaryah Sungai Burung sebelum dikebumikan .
Semalam, mayat Faridah ditemui di dalam lubang kumbahan najis selepas enam hari dilaporkan hilang.
Mayat mangsa ditemui oleh menantu lelakinya yang melakukan pencarian selepas warga emas itu gagal ditemui sejak Selasa lepas.
Polis terpaksa mendapatkan bantuan daripada beberapa agensi lain antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pasukan forensik bagi mengeluarkan mayat mangsa berikutan keadaan mayat yang telah berulat selain berada dikedalaman 1.5 meter dalam lubang najis.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan anak mangsa pagi tadi dan suspek akan direman esok .