'Abang botak' beraya dalam penjara
Sinar Harian
Mei 31, 2019 16:07 MYT
Mei 31, 2019 16:07 MYT
Seorang pembantu stor yang digelar 'abang botak' oleh warganet terpaksa menyambut Aidilfitri di dalam penjara selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kereta.
Majistret, Nur Shahira Abdul Salim membuat keputusan itu terhadap Danial Abdullah Tan selepas menerima pengakuan salah tertuduh.
Hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tangkap iaitu semalam.
Danial,31, mengaku melakukan khianat terhadap pemandu kereta Produa Alza milik Siew Chean Voon,58, dengan mengetuk kereta itu menggunakan topi keledar.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, di sini, jam 5.30 petang, Selasa lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Ketika ditanya oleh Majistret punca dia bertindak sedemikian, Danial berkata, pemandu kenderaan itu hampir melanggarnya dua kali sehingga memaksanya menghimpit semula kereta tersebut.
"Saya himpit semula sebab nak ajak berbincang, tetapi dia telah tunjuk jari kepada saya.
"Itu yang menyebabkan saya bertindak sebegitu. Saya minta maaf," katanya dalam keadaan sebak.
Terdahulu, peguam Nur Rafiuddin Naswari yang mewakili Danial memohon hukuman denda atas alasan anak guamnya merupakan penyara tunggal keluarga.
"Kesalahan ini adalah kesalahan pertama dan tertuduh mempunyai dua orang anak berusia setahun dan tiga tahun," katanya.
Menurutnya, kesalahan dilakukan Danial bukanlah dirancang tetapi spontan.
"Anak guam telah dikecam oleh masyarakat apabila kad pengenalan, alamat pekerjaan, alamat rumah tular di media sosial," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
"Kes pembuli jalanan ini kerap berlaku dan hukuman berbentuk pengajaran perlu diberikan," katanya.
Dalam satu rakaman video berdurasi 3.01 minit yang tular semalam memaparkan dua lelaki menunggang dua motosikal sambil berbual di hadapan kereta itu.
#Abang Botak
#Danial Abdullah Tan
#Nur Rafiuddin Naswari
#Nur Shahira Abdul Salim
#pembantu stor
#sambut Aidilfitri dalam penjara
#Seksyen 427
#Taman Bukit Serdang