MUAR: Seorang lelaki yang digelar 'Abang Bas' mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan menggunakan aplikasi TikTok dengan menghantar komen jelik dalam videonya, bulan lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki berusia 24 tahun yang digelar 'Abang Bas' mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan menghantar komen jelik di TikTok terhadap video seorang kanak-kanak.
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya. Dia juga menghadapi pertuduhan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
  • Mahkamah menetapkan 11 November untuk sebutan semula kes. Tertuduh dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM40,000 setelah lebih seminggu ditahan di pusat tahanan sementara.


Lelaki berusia 24 tahun itu, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan semula di hadapan Hakim, Sayani Mohd Nor.

Pada 12 September lalu di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, lelaki itu didakwa menggunakan TikTok dengan nama akaun 'Abang Bas' yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen 'hari ini crush buat homework' diikut tanda 'love' sambil memerhatinya.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Aman 2, Taman Budiman, Parit Raja, di sini, jam 11 malam, 5 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan seterusnya, denda RM1,000 bagi setiap kesalahan selepas disabitkan.

Pada prosiding itu juga, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh baharu susulan beberapa dokumen belum lengkap.

Peguam Muhammad Qayyim Saiful Bahari yang mewakili 'Abang Bas' bagaimanapun tidak membantah permohonan dibuat oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 November ini untuk sebutan semula kesemua kes itu.

Pada 10 September lalu, 'Abang Bas' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15 (a) (iii) akta sama.

Dia mengaku tidak bersalah sebelum Hakim, Sayani Mohd Nor membenarkannya diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Sehari kemudian, dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan membuat pengakuan sama serta diikat jamin RM10,000.

Bagaimanapun, kegagalan melunaskan ikat jamin menyebabkan dia dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

Pada 17 September lalu, 'Abang Bas' dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM40,000 di Kompleks Mahkamah Muar.

Proses membayar ikat jamin dilakukan peguam pro bono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar selepas lebih seminggu 'Abang Bas' ditahan di pusat tahanan sementara.

Dalam pada itu, Muhammad Qayyim enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung tindakan saman terhadap beberapa selebriti yang didakwa melakukan tohmahan terhadap anak guamnya.

Ketika ditemui di pekarangan mahkamah, Muhammad Qayyim berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berkaitan tindakan tersebut yang dikendalikan oleh Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

“Berkenaan dengan itu (tindakan saman selebriti) tiada komen, berkenaan usaha dapatkan semula bas pun sama. Apa yang dinyatakan oleh Tok Mad (Ahmad Zaharil) kami tak ada maklumat.

“Kami memang bekerjasama tetapi daripada dua firma berbeza, saya mewakili tertuduh dari Tetuan Hariz Syakinah & Co, itu sahaja,” katanya.

Pada bulan lalu, tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai 'crush' dan 'kesayangan'.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Susulan itu, tertuduh yang masih bujang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi, pada 6 September lalu. -Sinar Harian