‘Abang Bas’ didakwa lakukan amang seksual, menangis di kandang tertuduh

Shuhada Abdul Kadir
September 10, 2024 11:30 MYT
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
MUAR: Seorang pemandu bas yang ditahan kerana memuat naik rakaman video penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah dan menggelarnya sebagai 'kesayangan' atau 'crush' didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini.
Tertuduh berusia 24 tahun yang dilihat menangis di kandang tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya berusia empat tahun bagi maksud seksual antara pukul 5 hingga 6 petang di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara pukul 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.
Justeru, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Abdul Ghafar Ab Latif mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.
Hujahnya, ini kerana kes berkenaan adalah serius dan mendapat perhatian umum serta pelbagai komen diterima yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
Tambahnya, memandangkan salah seorang mangsa juga adalah anak saudaranya, pihaknya memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa serta kakak dan ibunya yang juga saksi pendakwaan.
Tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu agar jaminan rendah dikenakan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.
Hakim Sayani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan sebulan kes serta serahan dokumen.
Terdahulu, tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai 'crush' dan 'kesayangan'.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Susulan itu, tertuduh yang masih bujang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi Jumaat lalu.
#Abang Bas #kes tular #amang seksual #keputusan mahkamah #terkini
;