BATU PAHAT: Pemandu bas yang ditahan selepas memuat naik rakaman video penumpangnya yang merupakan murid sekolah rendah sebagai orang kesayangan atau 'crush' sempat memberikan 'mini love' di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.

Tertuduh berusia 24 tahun yang memakai baju berwarna hitam tiba di mahkamah pada jam 9.30 pagi bagi pertuduhan memuat naik komen jelik berhubung video seorang kanak-kanak perempuan.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan TikTok dengan nama akaun 'Abang Bas' yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen 'hari ini crush buat homework' diikut tanda 'love' sambil memerhatinya.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Aman 2, Taman Budiman, Parit Raja, di sini, jam 11 malam, 5 September lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurizzati Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Umar Zulkarnain.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Osman Affendi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Muar selari dengan Sesyen 165 Kanun Tatacara Jenayah dengan 10 Oktober depan ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Sementara itu, selepas selesai pendakwaan, ahli keluarga 'Abang Bas' iaitu ayah dan kakaknya dilihat memeluk lelaki itu dan suasana bertukar hiba kerana masing-masing menangis.

Sebelum kenderaan membawa 'Abang Bas' meninggalkan mahkamah, lelaki itu sempat memberikan 'mini love' kepada ahli keluarganya.

Selasa lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Muar dengan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Manakala pertuduhan kedua pula mengikut Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Bagaimanapun, dia juga mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan ini dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 namun gagal membayarnya.

Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki yang juga pemilik akaun ‘Abang Bas’ dengan lebih 640,000 pengikut di platform berkenaan sering memuat naik video jelas memaparkan wajah murid yang menjadi penumpangnya.

Susulan video itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) membuat laporan polis.

Susulan itu, tertuduh yang masih bujang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi Jumaat lalu. - Sinar Harian