‘Abang Bas’ bebas, bayar jaminan RM40,000 hasil kutipan

Shuhada Abdul Kadir
September 17, 2024 14:08 MYT
Sejurus dibawa keluar, lelaki itu dipimpin oleh peguam belanya sebelum dilihat memeluk ibu dan ayah serta ahli keluarganya yang berada di pekarangan Kompleks Mahkamah Muar. - Foto Astro AWANI
MUAR: 'Abang Bas’ yang sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta memuat naik hantaran jelik dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Muar, hari ini.
Pembebasan itu dibuat selepas keluarga kepada lelaki berusia 24 tahun itu selesai membuat bayaran jaminan keseluruhan RM40,000 selepas didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di Muar dan Batu Pahat minggu lalu.
Proses membayar ikat jamin berkenaan dilakukan peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar secara probono selepas lebih seminggu ditahan di pusat tahanan sementara berikutan tidak mampu menjelaskan bayaran dikenakan terhadapnya.
Keseluruhan jumlah ikat jamin dikenakan itu membabitkan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15(a) (iii) akta sama dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Terdahulu, Selasa lalu, Mahkamah Sesyen Muar membenarkan 'Abang Bas' diikat jamin sebanyak RM30,000 terhadap dua pertuduhan manakala Mahkamah Sesyen Batu Pahat memberikan ikat jamin RM10,000 untuk satu pertuduhan.
Bagaimanapun, keluarga kepada anak bongsu daripada enam beradik itu tidak mampu membayar keseluruhan ikat jamin dikenakan menyebabkan ahli keluarganya merayu orang ramai menghulurkan sumbangan itu membayarnya.
Keluarga kepada ‘Abang Bas’ dilihat memenuhi ruang mahkamah seawal jam 8.30 pagi, bagaimanapun pemuda itu hanya dapat dibebaskan kira-kira pukul 12 tengah hari sementara menunggu beberapa proses ikat jamin yang perlu diselesaikan.
Sejurus dibawa keluar, lelaki itu dipimpin oleh peguam belanya sebelum dilihat memeluk ibu dan ayah serta ahli keluarganya yang berada di pekarangan Kompleks Mahkamah Muar.
Lelaki itu sebelum ini didakwa di Mahkamah Muar atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya berusia empat tahun bagi maksud seksual antara pukul 5 hingga 6 petang di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.
Lelaki berkenaan turut didakwa memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara pukul 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.
Manakala di Mahkamah Batu Pahat, lelaki itu didakwa menggunakan TikTok dengan nama akaun 'Abang Bas' yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen 'hari ini crush buat homework' diikut tanda 'love' sambil memerhatinya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Aman 2, Taman Budiman, Parit Raja, Batu Pahat, jam 11 malam, 5 September lalu.
Walaupun dibebaskan, namun 'Abang Bas' masih perlu hadir semula ke Mahkamah Sesyen Muar dan Mahkamah Sesyen Batu Pahat bagi sebutan semula kes bagi ketiga-tiga pertuduhan yang didakwa terhadapnya pada 10 Oktober ini.
Selain itu, anak bongsu dari dua beradik itu juga perlu mematuhi syarat tambahan ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Muar dan Mahkamah Sesyen Batu Pahat iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa atau saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
#Abang Bas #amang seksual #bebas dengan jaminan #hantran jelik
;