"Abam ringan diri pergi program dakwah" - PU Rahmat bercerita tentang Allahyarham Abam
Astro Awani
Februari 11, 2020 15:36 MYT
Februari 11, 2020 15:36 MYT
SUDAH lebih 24 jam pelawak ternama tanah air, Abam Bocey dijemput oleh Allah ke tempat berehat paling abadi.
Namun, sehingga ke detik ini, berita pemergian Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan pada usia 32 tahun masih diperkatakan.
Pemergiannya benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam buat mereka yang pernah mengenali Allahyarham.
Apa lagi ketika melihat foto-foto di majlis pengebumian Allahyarham yang dihadiri ramai kenalannya membuatkan ramai yang menyifatkan, pengakhiran hidup Abam terlalu indah kerana pelawak terkenal itu disayangi ramai.
Sosial media dibanjiri dengan kisah perkongsian selebriti, pendakwah, rakan-rakan industri hiburan berhubung pengalaman bersahabat dengan anak seni yang terkenal kerana personalitinya yang menawan.
Antara perkongsian yang menyentuh emosi pembaca ialah catatan Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan di akaun Instagram peribadinya.
Penceritaan PU Rahmat mengenai Abam jelas menterjemahkan bahawa Allahyarham merupakan seorang insan yang berhati mulia.
Sekalipun sudah bergelar orang masyhur, namun, seperkara yang tidak berubah mengenai Allahyarham kata, PU Rahmat ialah, Abam tidak pernah berkira mengenai bayaran setiap kali dipelawa menghadiri program dakwah.
"Abam ringan diri pergi program dakwah. Aku ingat lagi bila kawan aku Ustaz Halim Hafiz jemput dia program warung halal.
"Dia usahakan juga datang walaupun bayaran tak tinggi. Aku ingat lagi bila AJK masjid tanya aku siapa pelawak yang aku boleh jemput untuk program. Yang aku ingat Abam dan @shahrol_shiro . Ini dua pelawak yang tak berkira kalau buat program dakwah," tulis PU Rahmat lagi.
BACA: "Abam cari rezeki kuat bantu mak dan adik" - Ustaz Ebit Lew kongsi kisah arwah Abam
Allahyarham Abam yang mencipta nama menerusi program Maharaja Lawak Mega meninggal dunia pada Isnin selepas dua hari mengalami demam panas.
Abam meninggalkan balu, Nor Hidayah dan seorang anak lelaki berusia lima bulan, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.
Sekalipun, fizikal tubuhnya sering menjadi bahan jenaka sebilangan pihak, namun, Allahyarham Abam, kata PU Rahmat tidak pernah mengambil hati.
Asal ada sahaja yang menjadikan 'body shaming' termasuk kononnya dia memilik alat kemaluan yang kecil hanya kerana dia gemuk, namun, Abam, tidak pernah melenting, kata PU Rahmat.
"Dia maafkan semua orang yang kutuk dia gemuk . Dia tak ambil hati sangat walaupun dia mesti terasa pada awalnya .
"Ingat lagi semasa orang kutuk dia mempunyai alat kemaluan yang kecil kononnya dia gemuk . Tapi dia tak marah Cuma dia marah bila orang kutuk baby dia . Dia cakap . Kalau kutuk saya tak apa tapi jangan kutuk anak dia," tulis PU Rahmat.
Menyentuh soal saiz tubuh yang besar juga, PU Rahmat berkata, Allahyarham Abam tidak pernah putus asa berusaha untuk mengurangkan berat badannya.
"Dia melawan body shaming dengan bergaya. Masa dia sebut gemuk is awesome, ramai orang pertikai.
"Tapi korang tak faham. Bukan maksud dia untuk kekal gemuk, dia nak orang gemuk ada confidence diri sebab Selalu sangat orang gemuk dibuli dan dihina .
"Kemudian sebelum dia meninggal, dia usahakan juga kuruskan diri sampai hilang berkali-kilo. Sebab apa? Dia pesan juga pada kawan-kawan gemuk agar usaha kuruskan badan yang pernah kutuk Abam. Eloklah kau minta maaf pada keluarga almarhum. Eloklah kau bertaubat," kata PU Rahmat.
BACA: "Kalau aku mati tolong kebumikan aku," Achey imbas gurauan Abam yang menjadi kenyataan