Abaikan mesyuarat penting, Steven Sim bantu ibu 10 anak dihalau dari rumah sewa

Astro Awani
April 4, 2021 16:06 MYT
Steven Sim bersyukur kerana dapat berkongi kegembiraan sama yang dirasai keluarga itu, terutama menjelang Ramadan. - Foto Facebook/Steven Sim
KUALA LUMPUR: MENJELANG Ramadan yang dijangka bakal membuka tirai 13 April ini, pastinya ramai umat Islam mula membuat persiapan meraikan bulan penuh keberkatan dan rahmat.
Namun, keceriaan menjelang Ramadan itu tidak sama bagi seorang ibu beranak 10, apabila individu dikenali sebagai Ros itu dikatakan dihalau keluar dari rumah sewa kerana dikatakan tidak mampu membayar sewa.
Perkara itu dikongsikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang segera membatalkan menysuarat penting bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, lalu bergegas membantu keluarga itu di Bukit Mertajam.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, Steven Sim berkata sejurus tiba, beliau mendapati mereka sudah mengemas segala barang dan duduk di luar rumah, selain buntu ekoran tidak tahu arah tuju seterusnya.
"Ibunya Puan Ros ada 10 orang anak, paling kecil hanya berumur tiga tahun. Dia duduk di luar rumah menangis terkenang nasib anak-anaknya. Kasih seorang ibu tidak ternilai, susah senang anak didahulukan.
"Saya bagitau Puan Ros, saya akan pastikan sebelum matahari turun hari ini, keluarga mereka akan ada bumbung atas kepala.
"Kemudian saya bawa ibu, anak-anak kecil dan kakak-kakak ke Tesco BM (Bukit Mertajam) untuk membeli barang-barang keperluan. Dua troli penuh kami belikan.
"Jurujual pun terkejut, ingat kami borong untuk niaga. Moga-moga cukup bekalan Ramadan sehingga hujung Syawal," kongsi Steven Sim di Facebooknya.
Selain barang keperluan, Steven Sim turut membeli barang permainan buat si anak kecil dan pakaian.
"Kebetulan di luar Tesco ada bazaar jual baju raya. Dah sampai kat situ, takkan tak beli. Jadi, seorang sepasang baju baharu.
"Ibu kata tak perlu beli untuk dia, beli untuk anak-anak cukup. Ibu tak pernah beli baju raya. Saya bagitau anak-anak, kali ini kita mesti beli sepasang baju baharu untuk ibu. Semua pakat pilih baju untuk ibu," kongsinya.
Malah, Steven turut membeli peranti pembelajaran untuk kegunaan seorang anak Ros yang bersekolah menengah, sambil menyifatkan 'hanya ilmu di dada mampu mengubah nasib kita'.
Steven Sim turut membawa mereka semua ke sebuah restoran makanan segera, sebelum ke rumah sewa baharu mereka.
Sumber Facebook StevenSimCK
"Lepas itu, kami ke rumah baharu. Puan Ros tanya sewa rumah berapa? Saya jawab jangan bimbang, saya akan tanggung sampai dia dapat rumah kerajaan nanti.
"Lepas hampir setengah hari, kami semua pun letih. Tapi Puan Ros sekeluarga sekarang ada rumah baharu, baju baharu, tablet baharu, peti ais dah penuh (sampai satu rak pecah sebab terlalu berat). Ibu minta satu saja, blender (mesin pengisar) nak masak untuk anak-anak," kongsinya.
Beliau membuat keputusan untuk membeli alatan itu di sebuah pasar raya terdekat.
Jelasnya, beliau bersyukur kerana dapat berkongi kegembiraan sama yang dirasai keluarga itu, terutama menjelang Ramadan.
#Steven Sim #Parlimen Bukit Mertajam #bantuan #wakil rakyat bantu rakyat #Steven Sim bantu ibu 10 anak #kerajaan #Parlimen #DAP
;