'Abah dah sedar, Abah buka mata, cari Mama,' - anak Pesuruhjaya Pas Perlis

Salim Aziz
Oktober 5, 2019 11:59 MYT
Masyitah terus meminta orang ramai mendoakan kesihatan Mohd Shukri (gambar) yang mengalami demam meskipun bapanya itu sudah sedar dan stabil dari fasa kritikal sejak Ahad lalu.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli yang dirawat di Unit Penjagaan Jantung (CCU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, akibat serangan jantung pada Ahad lalu, sudah sedarkan diri selepas dilaporkan stabil sejak Jumaat.
Perkara itu dikongsikan anak perempuan Mohd Shukri di Facebook, menerusi akaun Masyitah Shukri, yang memaklumkan perkembangan terkini bapanya sejak dirawat di wad berkenaan pada Selasa lalu.
"Ramai yang tertanya-tanya setiap hari (keadaan) Abah macamana, sudah sedar atau belum? Selalu jawapan saya tetap sama. Abah stabil, belum sedar lagi.
"Tetapi hari ini, Alhamdulillah berkat doa semua yang tidak putus-putus mendoakan Abah, Abah dah sedar. Abah buka mata dan orang pertama dia pusing cari adalah Mama.
"Mama ada dengan Abah, tengah sembang-sembang dengan Abah masa itu," katanya menerusi hantaran itu lewat malam tadi.
BACA: Pesuruhjaya Pas Perlis mula tunjukkan reaksi positif
Namun Masyitah terus meminta orang ramai untuk mendoakan kesihatan bapanya yang mengalami demam meskipun Mohd Shukri sudah sedar dan stabil dari fasa kritikal sejak Ahad lalu.
"Awal pagi tadi (semalam) abah demam. Suhu 37.9 darjah Celsius dan jururawat letak kain basah atas dada dan dahi Abah untuk turunkan suhu.
"Masa Abah buka mata tadi, suhu Abah dah turun sikit 37.5 darjah Celsius. Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat atas berkat doa semua di hari Jumaat yang mulia.
"Teruskan doa kita semua untuk Abah. Semoga esok ada sinar terus memancar. InsyaAllah," katanya.
BACA: Pesuruhjaya Pas Perlis rebah ketika sampaikan ceramah
Dalam kejadian pada Ahad minggu lalu, Mohd Shukri sebagai penceramah pertama sedang memperkenalkan nama-nama penceramah lain, sebelum dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
Kejadian berlaku ketika Mohd Shukri baru memulakan ucapan dalam Majlis Ceramah Perdana Muafakat Nasional Peringkat Negeri di Dewan 2020, pada 10.10 malam.
Berikutan itu, Mohd Shukri diberikan bantuan pernafasan oleh Unit Medik Jabatan Amal Malaysia sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
#demam #Hospital Sultanah Bahiyah #kritikal #Mohd Shukri Ramli #PAS #Perlis #rebah #sedar #serangan jantung #stabil #tidak sedarkan diri
;