Ab Rauf kemuka usul penubuhan Kumpulan Wang Amanah Dana Hartanah Bumiputera Melaka

Bernama
Julai 9, 2024 17:41 MYT
Ab Fauf berkata penubuhan kumpulan wang amanah itu sebagai penambahbaikan kepada pengurusan pinjaman Dana Hartanah Bumiputera (DHB) Melaka yang melibatkan kerajaan negeri dan Melaka Finance House Berhad (MFHB). - Gambar fail
MELAKA: Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini mencadangkan usul bagi menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Dana Hartanah Bumiputera Melaka.
Beliau berkata penubuhan kumpulan wang amanah itu sebagai penambahbaikan kepada pengurusan pinjaman Dana Hartanah Bumiputera (DHB) Melaka yang melibatkan kerajaan negeri dan Melaka Finance House Berhad (MFHB).
"Untuk makluman, seramai 384 rakyat Melaka telah menerima manfaat melalui pinjaman DHB dengan nilai pinjaman sebanyak RM29.869 juta yang dikeluarkan oleh MFHB sehingga 29 Feb lalu.
"Pelaksanaan pinjaman perumahan di bawah DHB Melaka diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertarikh 23 Okt 2019 dan disahkan pada 6 Nov 2019," katanya ketika membentangkan usul tersebut pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Ab Rauf (BN-Tanjung Bidara) berkata terimaan daripada hasil levi kuota pelepasan bumiputera yang diakaunkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) merupakan sumber kewangan yang menampung pemberian pinjaman DHB.
Beliau berkata sehingga 14 Mac lepas, terimaan berkenaan adalah berjumlah RM38.243 juta dan penyaluran kepada MFHB berjumlah RM 30.814 juta selain agensi itu juga membuat bayaran balik pokok pinjaman berjumlah RM482,533.66.
"Antara kriteria bagi kelulusan pinjaman itu termasuklah peminjam mestilah anak Melaka atau salah seorang pasangan kelahiran Melaka atau penduduk warganegara Malaysia yang bermastautin di negeri itu sekurang-kurangnya lima tahun.
"Selain itu pinjaman diberikan untuk pembelian rumah pertama sahaja, pembelian rumah yang terletak di Melaka sahaja, peminjam kategori individu atau bersama mestilah berumur tidak kurang daripada 21 tahun dan tidak melebihi 60 tahun dari tarikh tamat tempoh pinjaman.
"Pendapatan kasar minimum individu atau bersama adalah tidak kurang dari RM2,500 sebulan dan ansuran bulanan atau potongan pinjaman adalah tidak melebihi 60 peratus dari gaji kasar," katanya.
Usul berkenaan diluluskan selepas 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong manakala tiga berkecuali dan empat tidak hadir.
-- BERNAMA
#Ab Rauf Yusoh #DUN Melaka #Kumpulan Wang Amanah #Dana Hartanah Bumiputera Melaka