Aaron-Wooi Yik terpaksa lupakan Terbuka China 2024

Bernama
September 13, 2024 15:33 MYT
Wooi Yik (kiri) berkata keputusan melupakan kejohanan itu dibuat kerana beliau masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan retak tulang jari kaki. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menarik diri daripada menyertai Terbuka China 2024 di Changzhou pada 17 hingga 22 Sept ini.
Wooi Yik berkata keputusan melupakan kejohanan bertaraf Super 1000 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik itu dibuat kerana beliau masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan retak tulang jari kaki semasa perlawanan separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 bulan lepas.
"Setakat ini, pemulihan sudah sampai 70 peratus, saya pun sudah mula menjalani latihan ringan di gelanggang. Latihan penuh pula akan bermula minggu depan.
"Bagaimanapun, untuk bermain pada Terbuka China tidak sempat, kami memang sudah menarik diri Selasa lepas," katanya kepada pemberita pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.
Jika mampu pulih dalam masa terdekat, pemain berusia 26 tahun itu tidak menolak kemungkinan kembali ke gelanggang pada dua saingan di Eropah iaitu Terbuka Artik 2024 diikuti peluang mempertahankan gelaran Terbuka Denmark bulan depan.
Terbuka Artik 2024 akan berlangsung di Vantaa, Finland dari 8-13 Okt manakala Terbuka Denmark 2024 bakal diadakan di Odense dari 15-20 Okt.
Pada edisi Terbuka Denmark 2023, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu melakar sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran Jelajah Dunia sulung mereka dengan merakam kemenangan 21-13, 21-17 menewaskan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia.
Dalam pada itu, Wooi Yik berkata ini kali pertama beliau mengalami kecederaan retak tulang kaki dan mengakui memerlukan sedikit masa untuk pulih sepenuhnya.
"Memang kena bersabar dan perlu rehat sebab itu sudah lebih sebulan saya berhenti berlatih," katanya.
Minggu lepas, jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen mengesahkan juara beregu lelaki dunia 2022 itu tidak menyertai Terbuka Hong Kong 2024 yang bermula Selasa lepas hingga Ahad ini.
-- BERNAMA
#beregu lelaki negara #Aaron Chia-Soh Wooi Yik #badminton #tarik diri #Terbuka China #kecederaan
;