Aaron-Wooi Yik kekal bersama BAM hingga Olimpik Los Angeles 2028

Bernama
Ogos 23, 2024 21:12 MYT
Aaron-Wooi Yik digandingkan pada 2017, dengan pencapaian terbaik mereka ialah memenangi pingat gangsa di Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024. - Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik hari ini menandatangani kontrak untuk kekal di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
BAM dalam hantaran di Facebook memaklumkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu akan terus bersama badan induk berkenaan hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
"Kontrak dilanjutkan! Pemenang pingat gangsa #Tokyo2020 #Paris2024, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik secara rasmi menandatangani kontrak untuk kekal bersama kami hingga #LA2028!," menurut BAM.
Aaron-Wooi Yik digandingkan bersama pada 2017, dengan pencapaian terbaik mereka ialah memenangi pingat gangsa di Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024.
Pasangan itu turut mencipta sejarah menjadi beregu lelaki pertama negara muncul juara Kejohanan Badminton Dunia.
-- BERNAMA
#Aaron Chia #Soh Wooi Yik #BAM #badminton #Olimpik #Los Angeles