AAN-15: Ahli akademik perlu tingkatkan usaha kepada agenda pembinaan bangsa - PM Anwar

Firdaus Azil
Oktober 31, 2023 23:54 MYT
Perdana Menteri menegaskan, usaha membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan, supaya Malaysia dapat menjadi negara yang mengangkat dan menghormati ilmu.
KUALA LUMPUR: Cabaran dan kekacauan yang wujud pada era dan ketika ini, telah mengakibatkan agenda kemajuan dan kemodenan sering bergelut dengan nilai dan moral yang baik, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, beliau berkata, pegangan dan keterujaan terhadap ilmu dan kesarjanaan juga dilihat turut terhakis secara radikal.
Ketaasuban dan pemikiran yang sempit, kata Perdana Menteri, termasuk ideologi yang berpaksikan pada kemewahan material, prinsip yang tidak konsisten, jelas merumitkan keadaan.
“Itu belum lagi kita melihat semua ini dalam lensa global yang menyaksikan pelbagai pertembungan. Pertembungan blok perdagangan, krisis alam sekitar, peperangan dan konflik yang berpanjangan.
“Kesemua ini memberi tempias yang besar kepada negara. Dan ia mesti kita uruskan dengan cara yang bukan sahaja berkesan dan strategik, tetapi pantas dan praktikal,” katanya lagi.
Paling penting, tegas Perdana Menteri, segala kekacauan dan kerancuan yang beliau maksudkan itu, menuntut ahli akademik untuk menebalkan rasa tanggungjawab kepada agenda pembinaan bangsa dan aspirasi nasional, bukan sahaja kepada pengembangan ilmu dan penyelidikan dalam bidang atau disiplin yang dikuasai.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya sempena Majlis Anugerah Akademik Negara ke-15, yang dibacakan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin di sini, pada Selasa.
Pada malam tersebut, Pakar Penyakit Berjangkit Negara, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara, dan membawa pulang wang tunai RM200,000 beserta trofi dan sijil.
BACA: Dr Adeeba dinobat sebagai Tokoh Akademik Negara
Dalam pada itu Perdana Menteri mengingatkan golongan ahli akademik untuk terus gigih menguruskan segala kekacauan dan perubahan yang sedang, dan akan berlaku, bersama-sama dengan kerajaan dan pemimpin.
Anwar berkata, semua pihak harus berganding bahu mencari ikhtiar paling baik dan paling berkesan untuk menghasilkan dapatan ilmu dan pengetahuan, yang berupaya meraikan daya usaha serta daya cipta rakyat tempatan, ke arah kemajuan sosial serta budaya yang lestari.
“Apatah lagi dengan segala kelebihan teknologi dan kerancakan gelombang digital. Saya percaya, semua itu membawa kelebihan dan potensi yang boleh diadun untuk memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara.
“Dalam konteks ini juga, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan saya akan terus memberi dorongan dan dukungan kepada semua IPT. Khususnya dalam usaha meneroka dan mewujudkan bidang-bidang pengajian baharu, termasuk bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian,” katanya lagi.
Perdana Menteri selanjutnya mengingatkan semua pihak bahawa pengembangan dan pelebaran ufuk ilmu mesti menjadi agenda nasional yang kalis politik dan kepentingan diri.
Malah, katanya lagi, membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan, supaya Malaysia dapat menjadi negara yang mengangkat dan menghormati ilmu.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, gagasan Malaysia MADANI yang beliau ilhamkan, tidak akan menjadi citra bangsa jika sistem nilai tersebut hanya diangkat oleh segelintir kumpulan, dan tidak menjadi budaya yang dilazimi oleh semua anggota masyarakat.
Berbekalkan kesedaran itu, Anwar berkata, beliau percaya tiada siapa yang lebih layak untuk memicu dan memacu pemugaran nilai yang baik tersebut kepada masyarakat, kalau bukan ahli akademik dan golongan bijak pandai.
“Baik di IPT awam mahupun swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi, institut latihan dan vokasional hatta di mana-mana sahaja, saya melihat ahli-ahli akademik sebagai pemimpin akal masyarakat.
“Cuma, tugas sebagai pemimpin akal masyarakat ini sebenarnya hadir bersama satu lagi tanggungjawab penting, iaitu menyemai nilai unggul dalam diri anak bangsa,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, Malaysia MADANI hanya mampu menjadi realiti dan mencapai matlamatnya apabila masyarakat secara beramai-ramai memahami, dan membudayakan enam nilai unggul yang mendukung aspirasi tersebut.
#Anwar Ibrahim #Kerajaan Perpaduan #ahli akademik #Majlis Anugerah Akademik Negara
;