Aaliyah terima biasiswa Yayasan Sime Darby bernilai RM1.1 juta
Bernama
Disember 5, 2022 17:25 MYT
Disember 5, 2022 17:25 MYT
KUALA LUMPUR: Ratu ski air negara dan peluncur nombor satu Asia Aaliyah Yoong Hanifah hari ini menerima biasiswa bernilai RM1.1 juta daripada Yayasan Sime Darby (YSD) untuk melanjutkan pelajaran ke Florida, Amerika Syarikat (AS) mulai Januari tahun depan.
Aaliyah akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Florida Southern College yang merupakan kolej berprestij dengan kemudahan canggih dan telah melahirkan pemain ski bertaraf dunia.
Pengerusi YSD Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata pemberian biasiswa lima tahun itu akan menyokong Aaliyah untuk meneruskan kedua-dua aspirasinya menjadi pemain nombor satu dunia dalam sukan air dan impiannya untuk memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi.
"YSD kagum dengan semua pencapaian Aaliyah di peringkat antarabangsa pada usia sangat muda yang menunjukkan potensinya yang tinggi, dan kami telah menganugerahkannya dengan biasiswa ini. Tidak ramai yang telah dianugerahkan biasiswa berprestij daripada YSD ini.
Sementara itu, Aaliyah yang memenangi pingat gangsa dalam Trik Wanita Terbuka di Sukan Dunia 2022, juga muncul sebagai pemain ski air pertama Malaysia yang meraih pingat di Sukan Dunia menyifatkan pendidikan adalah penting untuk kemajuan dan kejayaan sukannya.
"Saya meminati sukan dan bercita-cita untuk menjadi seorang daripada ramai yang telah membawa perubahan kepada dunia melalui kuasa sukan. Saya juga ingin dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang akan meningkatkan pembangunan sukan di negara ini dengan penekanan kepada psikologi sukan," kata atlet berusia 19 tahun itu.
Aaliyah mula terlibat dalam sukan ski air seawal usia lima tahun dan memperoleh pingat emas pertamanya di Sukan SEA 2011 ketika berusia lapan tahun dan telah mengumpul sejumlah enam emas setakat ini dan kini menduduki tempat pertama di Asia dalam slalom, tricks, lompatan, dan overall selain menduduki tempat ke-3 di dunia bagi kedua-dua kategori Bawah 21 tahun dalam ketagori overall dan tricks.
Pada 2023, Aaliyah akan memulakan kempennya dalam Moomba Masters di Melbourne, Australia pada Mac dan menyertai dua kejohanan dunia B21 di Mexico pada Jun sebelum bertanding di kejohanan terbuka dunia di Florida pada Oktober.
Untuk rekod, penerima Anugerah Biasiswa Bintang YSD sebelum ini termasuk pelumba basikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pemain golf Kelly Tan kerana kedua-duanya disokong dalam usaha akademik sambil cemerlang dalam bidang olahraga mereka.
-- BERNAMA