AAKRP terima sumbangan lebih RM15.3 bantu rakyat Palestin
Astro Awani
November 23, 2023 23:18 MYT
November 23, 2023 23:18 MYT
KUALA LUMPUR: Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) menerima lebih RM15.3 juta sebagai bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, sumbangan itu diterima daripada Kumpulan Yayasan Al Bukhary berjumlah RM15 juta manakala RM373,229.75 diterima daripada Tabung Warga TNB Prihatin.
Menurut dalam satu hantaran di Facebook, sumbangan terbaharu itu menjadikan jumlah terkumpul terkini AAKRP adalah hampir RM40 juta.
"Penyerahan sumbangan ini merupakan satu lagi usaha tidak henti rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin dalam apa jua cara.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Yayasan Al Bukhary dan Tabung Warga TNB Prihatin. Sama-sama kita doakan konflik di Gaza akan dihentikan segera, bantuan kemanusiaan lebih banyak dapat disalurkan selain hak rakyat Palestin akan terbela.
Selain itu katanya, sumbangan yang dibuat melalui AAKRP adalah layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
AAKRP ditubuhkan di bawah seliaan Wisma Putra dengan mandat untuk mengumpul, menyelaras dan menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada rakyat Malaysia terus kepada rakyat Palestin.