AADK pantau PPDP agar tiada unsur dera, aniaya atau buli pelanggan

Bernama
Mac 28, 2024 08:10 MYT
Sutekno (kanan) hadir pada Program Iftar Jamai’e AADK 2024 di PUSPEN Tampin di Alor Gajah semalam. Turut hadir, Pengarah PUSPEN Tampin Siti Zaharah Bechi (dua, kiri). --fotoBERNAMA
ALOR GAJAH: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak akan sesekali berkompromi dengan elemen dera, aniaya dan buli yang digunakan pengusaha Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP), sepanjang proses memulihkan pelanggan mereka berjalan.
Ketua Pengarahnya Sutekno Ahmad Belon berkata meskipun PPDP menggunakan kaedah tersendiri dalam silibus pemulihan mereka, namun itu tidak bermakna pengusaha boleh melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
"Pada umumnya AADK tidak akan melindungi mana-mana PPDP yang berdaftar di bawah Akta ini dan sekiranya elemen membuli, dera, atau aniaya itu wujud, maknanya PPDP tersebut bukan untuk memulihkan kerana ia tidak memenuhi syarat," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Iftar Jamai'e AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tampin, Pulau Sebang di sini semalam.
Sutekno berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu penderaan melibatkan penghuni di pusat PPDP Eagle Land 1 di Lenggeng, Negeri Sembilan yang tular di media sosial dan kini di dalam siasatan pihak polis.
Beliau berkata walaupun pihak AADK menetapkan standard minimum yang perlu dipatuhi oleh lebih 60 pengusaha PPDP di seluruh negara, namun ia hanya membabitkan aspek kemudahan, fasiliti, penginapan dan kebajikan pelanggan.
"Untuk kaedah pemulihan kita tidak sama ratakan, sebab pemulihan ini ada macam-macam pendekatan dan tidak adil sekiranya kita sama ratakannya, kerana nanti dikatakan kerajaan hendak campur tangan, sedangkan pengusaha ada kaedah tersendiri.
"Cuma kita akan tengok kalau kaedah yang digunakan terlalu mendera atau keras, kita akan minta dia gugurkan dari silibus dan sekiranya kaedah itu mungkin caranya agak keras dari segi disiplin tetapi pelanggan sanggup dan tidak menganggap itu sebagai dera, kita tiada masalah," katanya.
Sutekno berkata sekiranya terdapat pelanggaran atau pengusaha tidak boleh mematuhi standard minimum yang ditetapkan, selepas peringatan diberikan berdasarkan pemeriksaan, pemantauan dan audit dilakukan oleh AADK negeri dan ibu pejabat, pihak AADK akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk membatalkan pendaftaran PPDP tersebut.
Sementara itu beliau berkata AADK akan mengeluarkan surat peringatan kepada PPDP Eagle Land 1 dalam masa terdekat, susulan pelanggaran standard minimum untuk menjalankan operasi sesebuah PPDP.
"AADK memberi tempoh 14 hari sebagai peluang kepada pengurusan dan penstrukturan pusat pemulihan tersebut, agar mematuhi standard operasi minimum bagi mengelakkan berdepan tindakan penutupan pusat berkenaan.
"Ia berikutan hasil pemeriksaan yang mendapati pusat berkenaan tidak mematuhi piawaian minimum PPDP yang dtetapkan, khususnya dalam aspek tempat tinggal, kapasiti pengguni dan ruang untuk menjalani aktiviti," katanya.
Sutekno berkata AADK juga menawarkan kepada semua penghuni pusat berkenaan, untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela sama ada melalui program Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi di PUSPEN atau program Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti di pejabat AADK daerah yang terlibat.
-- BERNAMA
#AADK #PPDP #buli #dera
;