AADK adakan sesi lawatan khas keluarga, penjaga sempena Aidilfitri

Bernama
April 18, 2023 18:44 MYT
Sesi lawatan tersebut secara bersemuka itu bertujuan merapatkan hubungan antara klien dan keluarga, mendapatkan sokongan moral dan emosi serta melihat sendiri perkembangan pemulihan yang mengikuti program RPDI. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengadakan sesi lawatan khas keluarga atau penjaga klien yang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan (RPDI) di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri, selama seminggu, mulai 24 April ini.
AADK, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan sesi lawatan tersebut secara bersemuka itu bertujuan merapatkan hubungan antara klien dan keluarga, mendapatkan sokongan moral dan emosi serta melihat sendiri perkembangan pemulihan yang mengikuti program RPDI.
"Ia juga memberi ruang dan peluang antara keluarga atau penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong pemulihan klien," kata AADK.
Menurut AADK, keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi berkenaan sehingga 1 Mei ini perlu menghubungi Pegawai Pemulihan di PUSPEN masing-masing menerusi panggilan telefon, mesej pesanan ringkas, WhatsApp, surat atau e-mel.
Orang ramai juga boleh menghubungi PUSPEN berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan sesi tersebut atau menghubungi talian hotline Helo AADK di 1-800-22-AADK (2235) atau 019-626 2233 (WhatsApp) bagi mendapatkan khidmat nasihat atau aduan berkaitan permasalahan dadah.
-- BERNAMA
#AADK #Hari Raya Aidilfitri #lawatan khas kerluarga #PUSPEN
;