A1M jamin pembentukan perpaduan seawal zaman persekolahan

Wan Syamsul Amly
Januari 3, 2016 15:28 MYT
A1M jamin pembentukan perpaduan seawal zaman persekolahan - Gambar fail
Asrama 1 Malaysia (A1M) menjamin pemupukan perpaduan dan sensitiviti kepada agama, budaya, adat resam serta kepercayaan individu seawal zaman ‎persekolahan.
‎Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan ‎Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Rofli Mohamed berkata, konsep ‎itu sekali gus memperlihatkan murid-murid dari pelbagai kaum tinggal, belajar dan melakukan aktiviti bersama tanpa mengira bangsa atau kaum.
"Kementerian telah mengeluarkan dalam surat khabar, media massa dan persatuan India serta Cina. Kali ini terdapat juga pelajar dari luar Kuala Lumpur untuk memasuki asrama jadi untuk meramaikannya kita buka dari seluruh negara.
"A1M menerapkan nilai-nilai 1Malaysia dalam diri murid-murid melalui aktiviti atau program yang memaksimakan proses kerjasama antara murid pelbagai kaum.
"Dari sudut pengisian programnya, progeam A1M bukan sahaja menumpukan aspek pembentukan perpaduan semata-mata. Murid yang tinggal di sini akan menyertai program pembangunan kepimpinan melalui modul kepimpinan, khidmat masyarakat, penjanaan kejayaan kokurikulum serta kecemerlangan akademik," katanya selepas majlis pendaftaran murid tingkatan 1 A1M di sini hari ini.
Seramai 68 murid lelaki dari pelbagai kaum mendaftar di A1M Jalan Kuantan, Kuala Lumpur.
Di bawah program ini, murid-murid berkenaan ditawarkan belajar di tingkatan satu di empat buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur iaitu di SMK St John, SMK Victoria, SMK (L) Methodist atau di SMK Sentul Utama.
Selain daripada A1M di Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 2010, terdapat tiga lagi A1M yang beroperasi mulai 2012 iaitu di Johor Bahru, Miri dan Kota Kinabalu.
Pendaftaran murid serta program orientasi asrama juga diadakan serentak di semua A1M.
#A1M #Cina #India #JPWP #Melayu
;