99% sampel penjujukan genom pada Mac-April ialah varian Omicron BA.2 - MOSTI
Astro Awani
Mei 9, 2022 12:55 MYT
Mei 9, 2022 12:55 MYT
KUALA LUMPUR: Individu yang masih belum divaksinasi berisiko tinggi untuk mudah mendapat jangkitan varian Delta dan Omicron COVID-19.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), vaksinasi adalah perlindungan terbaik melawan varian berkenaan.
Katanya, analisis garis-masa pola perubahan varian di Malaysia menunjukkan peningkatan jumlah varian Delta dan Omicron masing-masing bermula sekitar bulan Ogos 2021 dan Disember 2021.
"Varian Delta dan Omicron ini diketahui lebih berbahaya dengan kadar infektiviti yang lebih tinggi dan mampu menjangkiti kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksinasi serta dos penggalak.
"Bagi varian Omicron, pola garis-masa perubahan sub-varian Omicron di Malaysia dari November 2021 hingga April 2022 menunjukkan 3,010 sampel adalah sub-varian Omicron BA.2; 1,989 sampel sub-varian BA.1.1; dan 694 sampel sub-varian BA.1.
"Pola tersebut menunjukkan lineage BA.1 dan BA.1.1 mendominasi pada ketika awal kemunculan Omicron pada akhir tahun 2021, tetapi ia mula beralih ke lineage BA.2 seawal Januari 2022.
"Hampir kesemua (>99 peratus) sampel yang dijujuk dalam bulan Mac dan April 2022 adalah daripada lineage BA.2 dan sub-lineage-nya," katanya pada Isnin.
Mengulas lanjut, MOSTI berkata, maklumat berkenaan genom varian virus SARS-CoV-2 adalah amat penting untuk kerajaan mengambil tindakan yang wajar dan khusus bagi mengawal dan membendung penularan varian-varian berkaitan.
Jelasnya, virus SARS-CoV-2 bermutasi, varian baharu yang muncul mungkin mempunyai keupayaan yang berbeza termasuk dari segi kebolehjangkitan, keterukan gejala, ketepatan ujian diagnostik dan keberkesanan vaksin dan terapeutik.
"Sebagai contoh, kajian telah menunjukkan bahawa varian Omicron pada masa ini mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi tetapi dengan gejala yang kurang teruk berbanding dengan varian Delta.
"Ini disebabkan oleh mutasi yang menyebabkan perubahan dalam mekanisme virus itu untuk menjangkiti sel manusia.
"Kadar penjujukan genom, iaitu kadar genom yang dijujuk per jumlah kes positif yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah di antara 5-20 peratus dan ini berdasarkan pengiraan pada tahap keyakinan 95 peratus untuk dapat mengesan varian yang beredar dalam populasi sesebuah negara, terutamanya pada peringkat awal peredaran.
Tambah MOSTI, pengesanan varian yang baru muncul akan memerlukan sampel yang lebih besar dan kadar penjujukan genom yang lebih tinggi berbanding pengesanan varian yang telah merebak dengan meluas.
Oleh itu katanya, kadar penjujukan secara langsung berkait dengan keupayaan pengesanan awal VOC baharu dan pengawalan kluster-kluster baharu.
"Pada masa ini, kadar genomic surveillance bagi negara kita masih kurang daripada 1 peratus.
"Walau bagaimanapun Fasa 3 penjujukan genom ini adalah sebahagian dari usaha positif bagi mencapai sekurang-kurangnya 1 peratus kadar penjujukan seperti mana yang disasarkan oleh kerajaan.
"MOSTI melalui usaha sama MGVI-NIBM dan agensi/institut di bawah seliaan kementerian berkaitan (KKM dan KPT) akan terus menerajui bidang R&D genom bagi menyokong agenda kesihatan nasional, seterusnya sekuriti kesihatan rakyat Malaysia dalam memerangi penyakit berjangkit, terutamanya COVID-19 dapat diperkasakan," katanya.