99 peratus anggota ATM sudah lengkap divaksin - Hishammuddin
Astro Awani
September 1, 2021 18:57 MYT
September 1, 2021 18:57 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, setakat ini, sebanyak 99 peratus dalam kalangan anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah menerima vaksinasi lengkap.
Dalam masa sama, beliau turut berbangga dengan pencapaian pemberian vaksinasi dalam kalangan keluarga anggota ATM yang turut menunjukkan angka memberangsangkan.
"Saya berasa bangga kerana saya dimaklumkan bahawa anggota ATM yang menerima dos pertama adalah sebanyak 99.86 peratus manakala dos kedua, 99 peratus.
"Ahli keluarga mereka pula, dos pertama sudah merekodkan sebanyak 92.72 peratus dan 86.63 peratus bagi dos kedua," kata Hishammuddin dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan warga ATM serta tindakan buang kerja yang dikenakan terhadap seorang anggota kerana enggan divaksinasi.