98 individu ingkar PKPP ditahan polis - Ismail Sabri
Umavathi Ramayah
Oktober 1, 2020 16:13 MYT
Oktober 1, 2020 16:13 MYT
KUALA LUMPUR : Seramai 98 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjanng 24 jam yang lalu.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu tiga ditahan reman manakala 95 individu dikenakan kompaun.
"Kesalahan ingkar PKPP itu termasuk aktiviti di kelab malam (34 individu), penjarakan fizikal (24 individu), tidak memakai pelitup muka (22 individu), gagal lunas bayaran kuarantin (10 individu) dan gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (lapan individu)," katanya dalam kenyataan media di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata PDRM juga melakukan 54,764 pemeriksaan pada Rabu bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
Pada masa yang sama katanya, pasukan pemantauan juga melakukan pemeriksaan di 3,521 pasar raya, restoran (4,401 premis), penjaja (1,466 premis), kilang (1,136 premis), bank (3,511 premis) dan 744 pejabat kerajaan.
"Juga dipantau sebanyak 1,047 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (207 teminal) serta 155 terminal pengangkutan udara," ujarnya.
Menurut beliau, operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu telah melakukan 10,172 operasi sanitasi merangkumi 135 zon.
Katanya, daripada 13,073 premis yang disanitasi 2,716 adalah pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk PPR (1,601), tempat awam (2,624), pasar raya (354) dan 5,778 bangunan kerajaan.
"Semalam (30 September 2020), sebanyak 13 operasi sanitasi meliputi empat zon merah, tiga zon kuning dan lima zon hijau yang melibatkan enam buah negeri antaranya Sabah (lima operasi), Pahang (tiga operasi), Pulau Pinang (dua operasi) Kedah (satu operasi), Perak (satu operasi) dan
Sarawak (satu operasi)," tambahnya.
Selain itu jelasnya, sebanyak tiga jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut terlibat dalam operasi itu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan pemeriksaan ke atas 1,204 premis telah memberi nasihat kepada 18 buah premis yang tidak mematuhi SOP.
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#Malaysia
#PDRM
#perintah kawalan pergerakan
#JBPM
#PKPP
#COVID-19