97 peratus mahu pengeluaran KWSP i-Citra maksima RM10,000 - Kajian
Fareez Azman
Januari 14, 2022 13:58 MYT
Januari 14, 2022 13:58 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 97 peratus daripada lebih 21,000 responden memerlukan pengeluaran wang skim I-Citra daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Itu dapatan menerusi Kajian Awam Pengeluaran KWSP i-Citra yang dilakukan Biro Penyelidikan dan Pembangunan Pemuda UMNO Malaysia baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Sekretariatnya, Azril Siral Yusof Sarit, kajian itu turut mendapati pencarum berusia 35 hingga 44 tahun menunjukkan respons tertinggi, iaitu 10,698 bersetuju dengan pengeluaran itu.
"Bila kita lihat 35 hingga 44 tahun sebanyak 10,698 orang yang menjawab soalan, dan kalau kita lihat 25 hingga 34 tahun ada 5,455 responden menjawab soalan.
"Sebanyak 5,350 responden pula adalah berusia 45 hingga 54 tahun. Ini bermakna mereka di bawah 50 tahun memang memerlukan pengeluaran i-Citra KWSP," jelasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn pada Jumaat.
Jelasnya, dari segi pecahan kaum pula, 18,777 responden berbangsa Melayu bersetuju dengan cadangan pengeluaran wang KWSP.
Ia diikuti 10 peratus daripada responden berbangsa Cina dan India serta lain-lain yang turut serta dalam kajian rawak secara maya itu.
Menampung kehidupan
Mengulas lanjut jelas Azril, rata-rata responden bersetuju dengan cadangan terbabit untuk digunakan menampung kelangsungan hidup.
"Apakah keperluan yang responden mahukan daripada apa yang dicadangkan?
"Maknanya, (keperluan) dari segi bebanan hutang, bayar buku sekolah, kelangsungan hidup, ada juga membeli barang dapur, paling penting sekali modal memulakan perniagaan.
"Ada juga yang perlukan duit kecemasan dan kos sara hidup," jelasnya lagi.
Justeru, dapatan itu jelasnya akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki untuk dibawa ke peringkat kerajaan.
"Kita hanya memberitahu dari segi data, dan data ini kita beri kepada Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Ketua Pemuda. Itu tugas kita... hanya memberi andaian yang cukup tepat," katanya lagi.
Perbelanjaan harian
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Biro Penyelidikan dan Pembangunan Pemuda UMNO Malaysia, Azleen Ambros berpendapat, dapatan kajian itu signifikan dengan keperluan rakyat ketika ini.
Jelasnya, meskipun terdapat keresahan yang dibangkitkan sesetengah pihak berhubung kesan jangka masa panjang sekiranya pengeluaran dibuat oleh pencarum, ujarnya, lebih penting ketika ini (diberi kelulusan) demi memastikan setiap pencarum dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka selepas dilanda pandemik COVID-19 serta banjir besar.
"Kita bercerita soal kelangsungan dan survival kehidupan mereka pada hari ini. Krisis ini berlarutan melangkaui dua tahun, diburukkan lagi dengan banjir.
"Kajian daripada Social Wellbeing Research Centre Universiti Malaya (UM) mendapati pengeluaran dibuat mereka (pencarum) daripada i-Lestari dan i-Sinar memang untuk menampung kehidupan pencarum.
"Ini disahkan apa yang dibuat oleh Biro Penyelidikan dan Pembangunan Pemuda UMNO Malaysia (dapatan kajian)," jelasnya.
Malah ada juga pencarum jelasnya, menggunakan duit pengeluaran itu untuk membeli peranti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) bagi memudahkan urusan sekolah anak mereka.
"Kalau ada pun sebahagian nak beli emas, hanya 0.6 peratus, berbanding mereka yang keluarkan untuk perbelanjaan harian, membayar hutang dan sewa rumah.
"Ada juga untuk kegunaan kesihatan," jelasnya.