97.3 peratus eskalator, 93 peratus lif di stesen LRT berfungsi dengan baik - Wee Ka Siong

Fareez Azman
Mei 22, 2022 18:37 MYT
Isu kerosakan eskalator dan lif di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang dijangka dapat diselesaikan menjelang September depan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Isu kerosakan eskalator dan lif di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang dijangka dapat diselesaikan menjelang September depan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menurut beliau, 97.3 peratus eskalator dan 93 peratus lif di semua stesen LRT ketika ini masih berfungsi dengan baik.
Beliau berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga telah berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh Rapid Rail termasuk memberi kelulusan kegunaan lif dan esklator.
"Kalau kita lihat antara stesen utama seperti di KL Sentral, Masjid Jamek memang ramai pengguna menggunakan fasiliti (yang sedia ada).
"Bukan sahaja menaiki tren, apa yang penting fasiliti seperti lif dan eskalator sentiasa beroperasi dengan baik," jelasnya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Stesen LRT Ampang Park bagi melihat kerosakan lif dan eskalator yang berlaku baru baru ini.
Turut hadir, Pengarah JKKP Wilayah Persekutuan, Ir Zamzurin Maarof; Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Azharuddin Mat Sah.
Ka Siong berkata, kerosakan yang berlaku pada eskalator dan lif secara serentak sangat jarang terjadi seperti yang berlaku di Stesen LRT Ampang Park.
Bagaimanapun, tegas beliau, Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan agar situasi sama tidak lagi berlaku pada masa depan agar pengguna tidak mengalami kesulitan.
Mengulas lanjut tambah, beliau berkata, Rapid Rail turut mengalami kesulitan apabila kilang alat ganti bagi eskalator dan lif di Shanghai, China tidak beroperasi kerana negara itu kini berada dalam fasa perintah berkurung.
"Kesulitan dihadapi pihak Prasarana dan Rapid Rail kerana mereka terpaksa bergantung kepada pengilang (jenama) OEM dari Eropah, tetapi kilang untuk produk ini terletak di Shanghai, China.
"Apa yang berlaku hampir dua bulan Shanghai lockdown seperti kita lalui sebelum ini. Jadi ada sedikit kesulitan untuk kita dapatkan alat ganti.
"Jadi Prasarana sedang cari kaedah lain sama ada cari stok di tempat lain ataupun tiada pilihan terpaksa menunggu OEM ataupun pengilang itu untuk hantar (ke Malaysia)," katanya lagi.
Malah bagi memastikan penghantaran lebih cepat, jelas beliau, kaedah penghantaran menerusi kargo udara juga akan dibuat sekiranya barangan alat ganti itu dapat dikeluarkan kilang terbabit.
"Kita buat keputusan alat ganti tidak akan dihantar melalui kapal tetapi melalui kargo udara.
"Dalam tempoh terdekat kita harapkan kilang ini dibenarkan beroperasi, walaupun (dapat) sedikit alat ganti, namun sekurang-kurangnya kita boleh dapatkan alat ganti itu untuk kita percepatkan penyelenggaraan.
"Sekiranya kita buat penghantaran secara kargo udara boleh jimat satu bulan berbanding mengikut kapal," jelasnya lagi.
#eskalator #lif #stesen LRT #Wee Ka Siong
;