950 pemohon PPR di Perak berstatus calon simpanan - Exco
Bernama
Februari 27, 2024 12:30 MYT
Februari 27, 2024 12:30 MYT
IPOH: Jumlah pemohon Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini yang masih dalam status calon simpanan adalah seramai 950 orang setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.
Beliau berkata, secara umumnya, kesemua 16 PPR di seluruh Perak yang membekalkan sejumlah 2,876 unit rumah mempunyai permintaan tinggi, justeru keadaan itu menyebabkan kebanyakan pemohon terpaksa dimasukkan dalam senarai menunggu.
"Bagi mengekalkan PPR sebagai rumah transit untuk membantu lebih ramai rakyat dalam jangka masa panjang, serta dalam usaha memendekkan tempoh menunggu, telah diluluskan keputusan untuk kenaikan kadar sewa setiap kali pembaharuan kontrak sewaan iaitu tempoh dua tahun," katanya katanya pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, keputusan itu berkuat kuasa bermula 1 Jan 2024.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) yang mahu tahu jumlah pemohon masih menunggu giliran mendiami PPR, jumlah tunggakan sewa PPR dan usaha tangani penyewa yang culas bayar serta usaha kerajaan negeri menambah baik kemudahan PPR.
Sementara itu, Sandrea berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah mewujudkan pasukan task force sebagai langkah bagi menangani penyewa yang culas membayar sewa bagi memastikan kelangsungan pentadbiran PPR, dengan tindakan mahkamah terhadap penyewa sebagai langkah terakhir dipertimbangkan.
Beliau berkata, pada 2023, usaha itu dilihat membuahkan hasil apabila kutipan tunggakan meningkat kepada RM1,428,920 (RM1.4 juta) berbanding kutipan pada tahun sebelumnya yang berjumlah RM919,334.
- BERNAMA