92 projek pembangunan di Kelantan akan dimulakan tahun ini

Bernama
Julai 18, 2024 06:20 MYT
Jasri berkata setakat ini kerajaan Persekutuan telah meluluskan 445 projek pembangunan di negeri ini termasuk 92 projek baharu tersebut dan 353 projek sambungan. - Foto Facebook/Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan
KOTA BHARU: Sejumlah 92 projek pembangunan baharu di Kelantan berjumlah RM2.8 bilion diluluskan kerajaan Persekutuan dalam Rolling Plan Ke-4, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan dimulakan tahun ini.
Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) Jasri Kasim berkata semua projek berkenaan akan dimulakan selepas prosedur rutin dilakukan termasuk proses tender.
"Kelantan mendapat peningkatan peruntukan lebih tinggi tahun ini iaitu RM0.24 bilion untuk projek pembangunan Rolling Plan Ke-4 berbanding RM2.5 bilion pada tahun lepas.
"Terdapat 16 projek utama yang akan dilaksanakan menerusi peruntukan baharu ini termasuk Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Rancangan Tebatan Banjir Kota Bharu dengan kos kira-kira RM1.06 bilion, projek Sungai Golok Fasa 3 dan kerja menaik taraf jalan di Bandar Baru Tunjong," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pejabat Pembangunan Negeri (ICU JPM) 2024 di sini, pada Khamis.
Jasri berkata projek pembangunan itu juga melibatkan kerja awalan menaik taraf Jalan Salor di sini, pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Binjai, pembinaan Blok Patologi Tambahan Hospital Raja Perempuan Zainab II, selain membina sistem bekalan air luar bandar di Kampung Manek Urai dan Laloh di Kuala Krai.
Beliau berkata setakat ini kerajaan Persekutuan telah meluluskan 445 projek pembangunan di negeri ini termasuk 92 projek baharu tersebut dan 353 projek sambungan.
Katanya berdasarkan prestasi semasa, sebanyak 47.72 peratus atau lebih kurang RM1.1 bilion peruntukan telah dibelanjakan bagi projek-projek terbabit.
-- BERNAMA
#ICU #bekalan air #RMK-12 #proese tender
;