92 pangkalan dadah dikesan di Sungai Golok - Timbalan Ketua Polis Negara
Bernama
Disember 30, 2021 15:34 MYT
Disember 30, 2021 15:34 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sebanyak 92 pangkalan dadah yang berada di sekitar Sungai Golok, Thailand, hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain.
Beliau berkata, faktor sindiket dadah mendirikan pangkalan haram di Sungai Golok adalah kerana sempadan Thailand dan Malaysia yang sangat hampir.
"Mereka (sindiket dadah) hanya menggunakan bot pada tengah malam yang tidak sampai lima minit untuk melalui (merentasi) Sungai Golok yang panjangnya 99 kilometer masuk ke Kelantan.
"Selain itu, mereka juga akan meletakkan guni-guni berisi dadah di dalam bot dan menolaknya ke sempadan Kelantan yang jarak hanya 40 meter dan akan ada orang ambil guni-guni berkenaan di tebing sungai itu," katanya dalam sidang media khas di Kompleks Narkotik Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.
Razarudin berkata pihaknya sentiasa memantau kegiatan sindiket dadah di sungai itu namun sindiket-sindiket berkenaan mengetahui pergerakan dan penugasan polis yang menjaga sempadan negara.
"Mereka ini akan mengambil kesempatan untuk mengedar dan tahu bila polis keluar bertugas serta habis bertugas," katanya.
-- BERNAMA