918 PATI warga Filipina dihantar pulang
Ridzal Abdullah, Radhi Muslim
Disember 3, 2019 07:20 MYT
Disember 3, 2019 07:20 MYT
Seramai 918 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan malam tadi.
Mereka terdiri daripada 609 lelaki dewasa, 216 wanita dewasa dan 93 kanak-kanak, berumur antara satu bulan dan 74 tahun.
Timbalan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Muhammad Hafiz Abdul Rahim berkata, kumpulan itu dihantar menggunakan kapal laut terus ke Zamboanga, Filipina.
Menurutnya, proses penghantaran sedemikian biasa dijalankan pada setiap minggu.
“Seramai 918 PATI ini dihantar pulang dan jumlah penghantaran ini bergantung kepada kemampuan kapal serta dokumen mereka.
“Sekiranya dokumen mereka sudah lengkap dan cukup, maka kita akan hantar pulang segera.
“Perjalanan dari Sandakan ke Zamboanga dianggarkan 16 hingga 18 jam.
“Semua yang dihantar ini dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga Sandakan dan PTS Kota Kinabalu,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Sandakan malam tadi.
Menurutnya, penghantaran pulang PATI ke negara asal merupakan komitmen tinggi pihaknya dalam menangani masalah kehadiran golongan itu di negeri ini.
#Filipina
#hantar pulang
#kapal laut
#Kota Kinabalu
#Majlis Keselamatan Negara
#Muhammad Hafiz Abdul Rahim
#pati
#Pelabuhan Sandakan
#pendatang asing
#Sandakan
#Zamboanga