910 premis diarah tutup kerana tidak bersih - KKM

Bernama
Oktober 30, 2024 11:15 MYT
KKM memaklumkan tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil kepada pemilik premis makanan yang kotor atau tidak suci adalah arahan penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari.
PUTRAJAYA: Sebanyak 910 daripada 63,784 premis yang diperiksa Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini telah diarahkan tutup kerana tidak bersih.
Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan sejumlah 16,415 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dalam tempoh berkenaan.
Bagi tempoh yang sama, sebanyak 84.7 peratus atau 79,818 daripada 94,275 pengendali makanan yang diperiksa di seluruh negara didapati telah mendapatkan suntikan vaksin anti-Tifoid.
"Tindakan penguatkuasaan telah dikenakan terhadap pengendali dan pemilik premis makanan yang gagal memenuhi keperluan perundangan ini," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil kepada pemilik premis makanan yang kotor atau tidak suci adalah arahan penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Individu yang ingkar arahan tersebut boleh didakwa dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, KKM memaklumkan bahawa peruntukan bagi ciri-ciri kebersihan premis makanan, perkakas, amalan pengendalian oleh pengendali makanan dan pengangkutan makanan diperincikan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009, dan terdapat 33 kesalahan boleh dikompaun.
Mana-mana individu yang gagal membayar kompaun tersebut boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, menurut KKM.
Sehubungan itu, KKM menegaskan kepada semua pemilik premis dan pengendali makanan supaya sentiasa mengamalkan amalan kebersihan dan keselamatan makanan baik dan mematuhi keperluan perundangan ditetapkan demi kesihatan dan kesejahteraan awam.
"Orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan "Perhati dan Pilih" premis makanan yang bersih dan mempunyai logo Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) dari KKM.
"Amalkan "Lihat Hidu Rasa" kerana ia adakah langkah awal dan paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan," menurut kenyataan itu.
Sekiranya ingin memuat naik sebarang foto atau video berkaitan isu kebersihan dan keselamatan makanan di media sosial, KKM menasihatkan orang ramai untuk memperincikan lokasi premis makanan yang berkenaan supaya tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa.
-- BERNAMA
#premis diarah tutup #KKM #tidak bersih #akta makanan
;