91.4 peratus daripada 1,291 kes positif di Sabah dalam kategori 1 dan 2

Astro Awani
Ogos 6, 2021 07:33 MYT
Masidi berkata, 1,180 daripada 1,291 kes positif hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2 manakala dua pesakit adalah dalam kategori 4 dan seorang dalam kategori 5.
KUALA LUMPUR: Sabah hari ini mencatatkan kes positif baharu tertinggi COVID-19 dengan 1,291 kes, kata Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau menegaskan, 1,180 daripada 1,291 kes positif hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2 manakala dua pesakit adalah dalam kategori 4 dan seorang dalam kategori 5.
Masidi yang juga Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata, empat daerah di Sabah mencatatkan kes tiga digit, iaitu Kota Kinabalu 282, Tawau 177, Penampang 131 dan Papar 112.
"Lima daerah pula merekod jumlah kes harian melebihi 50 kes iaitu Tuaran 96, Sandakan 72, Sipitang 54, Beaufort 54 dan Keningau 52," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
"Empat daerah melepasi 20 kes harian, Kinabatangan 21, Kota Belud 28, Putatan 31, Ranau 40. Tidak ada daerah yang kes sifar semalam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kategori 1 ialah pesakit tidak bergejala; Kategori 2 ialah pesakit bergejala tanpa radang paru-paru; Kategori 3 ialah pesakit bergejala dengan radang paru-paru; Kategori 4 ialah bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan alat pernafasan serta Kategori 5 ialah pesakit kritikal dengan komplikasi kepada pelbagai organ.
Masidi menjelaskan, kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di Sabah iaitu 772 kes atau hampir 60 peratus.
Manakala kes bergejala (sporadik) juga kekal tinggi, iaitu 299 atau 23.2 peratus.
Selain itu, Kerajaan Sabah akan mengumumkan langkah dan inisiatif baharu bagi memastikan kelancaran program vaksinasi di negeri itu dalam waktu terdekat.
#Sabah #Masidi Manjun #COVID-19 #Kategori 1 #Kota Kinabalu #vaksinasi #program vaksinasi