90 tapak 5G siap dibina di Sarawak - Annuar Musa
Bernama
Oktober 9, 2022 05:20 MYT
Oktober 9, 2022 05:20 MYT
MIRI: Sebanyak 90 daripada 339 tapak 5G sudah siap dibina di seluruh negeri Sarawak setakat 5 Okt lepas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Annuar berkata pembinaan tapak yang melibatkan kawasan Kuching, Bintulu serta Miri itu dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan.
Katanya penggunaan 5G di kawasan itu juga nanti diharap dapat menjadi pemangkin untuk mendukung agenda ekonomi digital kerajaan negeri Sarawak.
"Progres pembinaan ini akan terus kami pantau dengan kerjasama agensi kerajaan negeri yang turut bekerjasama dalam pembinaan ini.
"Kami juga minta kerjasama dari pihak Sarawak Energy kerana semua fasiliti ini bergantung dengan bekalan elektrik yang stabil," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan PerantiSiswa di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak di sini, pada Ahad.
Pada majlis itu, lebih 500 pelajar dari pelbagai Institusi menerima peranti tersebut.
Sementara itu, Annuar berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memberi komitmen untuk terus menyegerakan penyerahan PerantiSiswa kepada penerima.
Katanya K-KOMM juga menyasar dapat mengagihkan 80 peratus peranti tersebut menjelang akhir November.
Sebelum ini, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi K-KOMM Hariaty Mohd Idrus dilaporkan berkata permohonan fasa satu dibuka bermula April hingga Mei, manakala permohonan bagi fasa dua dibuka pada 29 Ogos sehingga 30 Sept lepas dengan sasaran keseluruhan 350,000 PerantiSiswa dapat diagihkan.
-- BERNAMA