90 peratus netizen setuju PKP wajar dilanjutkan sehingga Malaysia bebas COVID-19
Hilal Azmi
April 23, 2020 17:04 MYT
April 23, 2020 17:04 MYT
"Lanjut atau tidak?" - Itu antara persoalan yang cukup popular dalam perbualan harian rakyat Malaysia ketika ini.
Ada yang optimis, bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan tamat pada 28 April ini dan rakyat boleh kembali kepada kehidupan seperti sebelum ini.
Sehubungan itu, Astro AWANI membuat kaji selidik secara dalam talian untuk mendapatkan suara rakyat Malaysia berhubung pelaksanaan PKP bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.
Hampir 200,000 netizen menyertai kaji selidik kali ini.
Daripada jumlah penyertaan itu, 90 peratus daripada keseluruhan 194,141 netizen melalui platform Twitter, Facebook dan juga Telegram Astro AWANI bersetuju agar tempoh PKP dilanjutkan sehingga Malaysia benar-benar bebas COVID-19.
Di platform Twitter, 86 peratus mengatakan 'Ya' tempoh PKP wajar dilanjutkan sehingga Malaysia benar-benar bebas COVID-19.
Bagi Razif Ahmad, beliau tidak setuju dengan pelanjutan tempoh PKP kerana ramai yang terkesan dari segi pekerjaan sejak PKP ini dilaksanakan.
Namun, pemilik akaun comelme6, dia menganggap usaha ini perlu dibuat sehabis baik seiring dengan kerja keras yang telah ditunjukkan pekerja di barisan hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, di platform Facebook Astro AWANI, 90 peratus daripada 182,000 yang menyertai kaji selidik ini setuju untuk tempoh PKP dilaksanakan.
Namun, perbincangan di Facebook Astro AWANI nyata hangat dengan pelbagai perspektif yang diutarakan netizen.
Antaranya, Nur Jakfar yang mahukan rakyat Malaysia untuk lebih bertanggungjawab dengan gaya hidup mereka.
"PKP wajar ditamatkan segera, kerana kita bukanlah negara yang kaya," katanya.
Bagi Aqeyla Ameyra pula, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
"Kita sedang memilih antara hidup dan mati.
"Baik kita teruskan daripada berhenti di pertengahan jalan," katanya menerusi ruangan komen.
Biarpun begitu, di platform Telegram Astro AWANI, 93 peratus setuju agar PKP dilanjutkan manakala 17 peratus mengatakan tidak.
#COVID19
#Facebook Astro AWANi
#Kaji Selidik AWANI
#perintah kawalan pergerakan
#PKP dilanjutkan
#Telegram Astro AWANI
#Wajarkah PKP Dilanjutkan