90,000kg sisa banjir dikutip di Kota Tinggi

Bernama
Januari 15, 2024 19:56 MYT
Penduduk terjejas boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian di www.swm-environment.com berserta salinan laporan polis tentang kehilangan TSB akibat bencana itu. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Sebanyak 90,000 kilogram sisa sampah akibat banjir dikutip di daerah Kota Tinggi menerusi operasi pembersihan pascabanjir yang bermula sejak Jumaat lepas.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata operasi itu melibatkan 130 anggota SWM Environment Kota Tinggi, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang dengan menggunakan 22 jentera seperti lori 'roll on roll off' dan jentolak.
"Kita memulakan misi bantuan banjir dengan menyelaraskan Operasi Kutipan Sisa Pepejal di pusat pemindahan sementara (PPS) melalui penyediaan kemudahan tong sampah yang mencukupi dan perkhidmatan kutipan sisa pepejal berjadual di hampir semua PPS termasuk di luar kawasan perkhidmatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak SWM Environment juga sedia menerima permohonan penggantian tong sampah beroda (TSB) yang rosak atau hanyut akibat banjir.
Mohd Norlisam berkata penduduk terjejas boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian di www.swm-environment.com berserta salinan laporan polis tentang kehilangan TSB akibat bencana itu.
Menurutnya sebarang pertanyaan mengenai prosedur penggantian TSB boleh disalurkan melalui Talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 atau talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.
-- BERNAMA
#Kota Tinggi #sisa sampah #banjir #pembersihan
;