9 tahun kehilangan MH370, ini 12 perkara yang perlu anda tahu
Fareez Azman
Mac 8, 2023 21:36 MYT
Mac 8, 2023 21:36 MYT
SEMBILAN tahun berlalu, namun insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 masih menjadi misteri.
Harapan terus disandarkan 239 keluarga mangsa penumpang dan kru pesawat agar usaha pencariannya dapat diteruskan.
Terbaharu, wakil keluarga mangsa Kumpulan Voice370 meminta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sokongan cadangan pencarian dimulakan syarikat peneroka dasar laut Ocean Infinity.
Berikut beberapa perkara perlu anda tahu mengenai insiden yang menggemparkan dunia sejak 8 Mac 2014 itu:
1) Pesawat MH370 berlepas jam 12.41 pagi 8 Mac 2014 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sepatutnya tiba di Beijing Capital International Airport (PEK) pada jam 6.30 pagi (waktu tempatan).
2) Penerbangan pertama MH370 adalah pada 14 Mei 2002. Pesawat itu merekod jumlah masa penerbangan 53,465 jam dengan 7,525 kitaran penerbangan.
3) Pencarian MH370 antara termahal dalam sejarah dunia penerbangan melibatkan kos AS$200 juta (RM837.47 juta) membabitkan 120,000 meter persegi lokasi pencarian.
4) Pesawat itu membawa 239 penumpang dan kru. Mereka terdiri daripada 153 penumpang dari China, 38 Malaysia, manakala 36 lagi penumpang dari 12 negara berbeza.
5) 29 Jan - Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengisytiharkan MH370 sebagai kemalangan, menurut Standards of Annexes 12 dan 13 Konvensyen Chicago, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal MH370 dianggap telah terkorban.
6) 18 Jun - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia akan meneruskan fasa kedua misi mencari MH370 membabitkan hanya dua kapal di kawasan terpencil di Lautan Hindi. Fasa pertama berakhir pada bulan sama dengan kawasan pencarian yang diliputi lebih 52,000 kilometer persegi.
7) 29 Julai - Seorang tukang bersih pantai di Pulau Reunion di Lautan Hindi menemukan serpihan sayap pesawat sepanjang 2.7 meter dipanggil 'flaperon' yang pakar percaya adalah milik Boeing 777. MH370 merupakan satu-satunya pesawat Boeing yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi.
8) 6 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengesahkan flaperon ditemukan di Pulau Reunion adalah daripada MH370 yang hilang.
9) 3 Sept - Pasukan penyiasat Perancis mengesahkan flaperon pesawat yang ditemukan pada 29 Julai adalah milik pesawat MH370, berdasarkan nombor siri yang sepadan dengan rekod syarikat Sepanyol yang mengeluarkan bahagian flaperon.
10) 5 Sept - Malaysia mengumumkan ia akan meneruskan misi mencari di kawasan penerbangan MH370 dikatakan hilang di Lautan Hindi.
11) 29 Sept - Malaysia, China dan Australia mengesahkan pada mesyuarat tiga pihak di Beijing yang mereka kekal komited untuk mengesan lokasi pesawat MH370.
12) 31 Mac - Kapal Ocean Shield memulakan pencarian kotak hitam pesawat MH370 di Lautan Hindi.
13) 5 Okt - Kapal Ocean Phoenix memulakan pencarian kotak hitam pesawat MH370 di Lautan Hindi.
14) 9 Dis - Kapal ketiga, Havila Harmony, menyertai misi mencari pesawat MH370 di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi melibatkan lebih 75,000 kilometer persegi kawasan dasar laut.
15) 2018 - Kapal Ocean Infinity melakukan usaha pencarian di kawasan dasar laut Lautan Hindi.
BERITA BERKAITAN