9 rumah panjang di Sarawak dikena PKPD bermula Sabtu
Hilmi Malik
Jun 17, 2021 18:52 MYT
Jun 17, 2021 18:52 MYT
KUALA LUMPUR : Sebanyak sembilan rumah panjang di Sungai Rassau, Batang Igan, Matu di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 19 Jun sehingga 2 Julai depan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 48 kes positif dikenal pasti di kawasan tersebut hasil daripada saringan membabitkan 84 penghuni.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga mendapati penularan mula berlaku dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, rumah panjang yang terlibat ialah Rumah Panjang Salim anak Unang; Rumah Panjang Judy anak Kudi; Rumah Panjang Mathew anak Merang; Rumah Panjang Danggang anak Ujang; Rumah Panjang Lait anak Ijang; Rumah Panjang Chandi anak Kilau; Rumah Panjang Putut anak Jugah; Rumah Panjang Sadin anak Jeli; dan Rumah Panjang Mador anak Rendah.
Selain itu, turut dikenakan PKPD pada tarikh yang sama ialah Asrama Pekerja Warga Asing dan Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Rainbow Metal Sdn Bhd di Segamat, Johor.
Beliau berkata, hasil pemantauan KKM mendapati berlaku peningkatan sebanyak 52 kes positif dalam tempoh seminggu setelah 488 individu menjalani saringan di lokaliti itu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga memutuskan untuk menamatkan PKPD di dua lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah melibatkan Kampung Tanjung Aru Baru dan Rumah Murah Kepayan mulai 17 Jun.
Selain itu, PKPD di daerah Besut, Terengganu turut ditamatkan seperti yang dijadualkan iaitu pada 18 Jun.