9 rumah kedai di Alor Setar musnah terbakar
Adie Sufian Zulkefli
Disember 31, 2020 16:56 MYT
Disember 31, 2020 16:56 MYT
ALOR SETAR: Tragedi hitam pada hari terakhir tahun 2020 buat sembilan peniaga di Jalan Tunku Abdul Halim, Kampung Baru, di sini apabila sederet rumah kedai musnah dalam kebakaran.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.13 tengah hari.
Empat pasukan bomba dari Jalan Raja dan Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi bersama enam jentera.
Selain itu, operasi turut disertai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Alor Mengkudu, PBS Seberang Nyonya, PBS Mutiara, PBS Jalan Kundor, PBS Kilang Tebu, PBS Kuala Kedah, PBS Simpang Empat, PBS Kampung Berjaya, PBS Kota Sarang Semut dan PBS Kampung Baru Rangkaian Simpang Empat.
Mohamadul Ehsan berkata, api marak dengan cepat berikutan rumah kedai itu diperbuat dengan kayu dan papan.
Kebanyakan peniaga, kata beliau, tidak sempat menyelamatkan barangan niaga ekoran api marak dengan pantas.
Pihak bomba juga, katanya, mengambil masa lebih 20 minit untuk mengawal api daripada merebak ke premis bersebelahan dan hadapan.
Sehingga kini kerja-kerja memadamkan api masih dilakukan.
Kesemua mangsa dilaporkan berjaya berlari keluar dari premis selepas mendengar jeritan orang awam yang terlihat kepulan asap tebal di langit.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.