9 pemandu teksi ditahan tidak menggunakan meter

Tunku Nashrul Tunku Abaidah
April 4, 2013 22:02 MYT
Sembilan pemandu teksi ditahan atas kesalahan tidak menggunakan meter ketika membawa penumpang dalam Ops Tegas yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di ibu Negara malam tadi.
Semasa operasi berkenaan, seorang pemandu disyaki positif ganja selepas gagal dalam ujian air kencing.
Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad, operasi tersebut bertujuan memberi pengajaran dan kesedaran kepada pemandu dimana tindakan mereka itu merupakan satu kesalahan besar yang boleh dikenakan hukuman tegas.
"Kami mahu menasihatkan supaya mereka (pemandu teksi) bertanggungjawab dan jangan menipu penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka lebih-lebih lagi di Stesen KL Sentral.
“Ramai pelancong luar yang datang ke ibu negara dari LCCT sehingga 12 tengah malam dan kebanyakkan mereka tiada pilihan lain selain terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi," katanya.
Tegas beliau, SPAD akan menjalankan operasi seperti ini lebih kerap bagi membanteras kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini.
Operasi ini bermula sekitar jam 11.30 malam dan berakhir kira-kira jam 2 pagi yang melibatkan 61 pegawai dan kakitangan SPAD, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
Menurut Che Hasni, beberapa anggotanya ditugaskan menyamar sebagai penumpang di Stesen Kl Sentral sebelum meminta pemandu terbabit menghantar mereka ke Muzium Negara.
"Bagi kesalahan ini, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 22, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan sekiranya disabitkan kesalahan dibawah seksyen ini, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak kurang dua tahun atau kedua-duanya sekali," tambah beliau.
Che Hasni turut menasihatkan orang ramai agar menghubungi talian perkhidmatan awam SPAD di talian 1-800-88-9600 jika mempunyai maklumat mengenai kejadian seperti ini supaya tindakan boleh diambil.
#ditahan #ibu negara #meter #Ops Tegas #pemandu teksi #SPAD