9 pelajar harumkan nama negara, menang pingat emas WIMO di Tokyo

Astro Awani
Januari 12, 2020 14:03 MYT
Sembilan pelajar ini berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobat sebagai penerima pingat emas bagi Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) di Tokyo, Jepun. -Facebook SMO Malaysia
SEMBILAN anak muda berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobat sebagai penerima pingat emas bagi Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) yang berlangsung di Tokyo, Jepun.
Perkara itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi satu kenyataan media pada Ahad.
Jelas Mohamed Azmin, beliau berasa sangat berbangga dengan kemampuan dan kejayaan yang diraih kesembilan anak muda tempatan itu.
“Kami sangat berbangga dengan kejayaan menakjubkan yang diraih sembilan pelajar Malaysia, yang layak bersaing dalam Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) di Tokyo, Jepun.
“Kesemua mereka berjaya membawa pulang pingat, menjadikan Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan pertandingan itu dengan keputusan terbaik iaitu dua Juara Dunia, enam emas dan satu gangsa,” jelas kenyataan itu.
Jelasnya lagi, menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, penekanan akan ditekankan sebagai langkah asas untuk merapatkan ketaksamaan ekonomi dan pembangunan antara
Melalui Kemakmuran Berkongsi Wawasan 2030, penekanan akan diberikan kepada pendidikan sebagai langkah asas untuk menutup kesenjangan ekonomi dan pembangunan antara kelas pendapatan, wilayah dan komuniti.
“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan menerusi penglibatan pihak berkepentingan untuk mengimplementasikan prinsip dan objektif Kemakmuran Bersama (WKB2020) dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-12.
“Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi keadaan geopolitik dan ekonomi yang mencabar pada awal Revolusi Perindustrian Keempat dan saya yakin pendekatan bersatu dan holistik oleh kerajaan akan memastikan kejayaan pembaharuan pendidikan untuk manfaat generasi akan datang,” tambah Mohamed Azmin dalam kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada kesembilan pelajar berkenaan.
Berikut adalah senarai nama para pelajar yang berjaya mengecapi kejayaan dalam pertandingan itu:
Juara Dunia dan Penerima Pingat Emas:
1. Yeoh Yi Shuen (SJK (C) Kwang Hwa)
2. Teoh Zhou Zhe (SJK (C) Min Terk)
Penerima Pingat Emas:
3. Alvis Leow Jin Ker (SJK (C) Jalan Davidson)
4. Brandon Choo Sze How (SJK (C) Jalan Davidson)
5. Chai Feng Ze (SJK (C) Jalan Davidson)
6. Hoo Jordan (SJK (C) Jalan Davidson)
7. Hoo Xinyi (SJK (C) Jalan Davidson)
8. Tang Yi Xuan (SJK (C) Serdang Baru 2)
Penerima Pingat Gangsa:
9. Cheah Jor Wii (SJK (C) Perempuan China)
#anak #Azmin Ali #ekonomi #Jepun #Kementerian Pendidikan #kerajaan #Malaysia #Menteri Hal Ehwal Ekonomi #pelajar #pendidikan
;