9 motosikal, sebuah kereta diparkir di bawah flat hangus terbakar

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 18, 2022 09:04 MYT
Pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan di lokasi yang mengakibatkan sembilan motosikal dan sebuah kereta hangus kebakaran di flat Jalan Kurau, George Town, hari ini. - Gambar ihsan pembaca
GEORGE TOWN: Sembilan buah motosikal yang diparkir di flat Jalan Kurau, di sini, hangus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 3.15 pagi itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang diparkir berhampiran turut terbakar.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, memaklumkan, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.26 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama lima jentera.
"Apabila pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian didapati terdapat kebakaran motosikal sebanyak sembilan buah dan sebuah kereta.
"Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan," kata kenyataan itu.
Bomba mengambil masa 45 minit untuk memadam kebakaran dan api dapat dipadam sepenuhnya pada pukul 4.17 pagi.
Pasukan keselamatan itu juga berkata, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan bomba kini sedang menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran serta nilai kerugian yang dialami mangsa.
#sembilan motosikal #hangus terbakar #flat Jalan Kurau #George Town