9,743 kompaun lebih RM2 juta dikeluarkan atas kesalahan merokok, kawalan demam denggi
Bernama
November 17, 2023 20:16 MYT
November 17, 2023 20:16 MYT
PUTRAJAYA: Sebanyak 9,743 kompaun bernilai lebih RM2 juta dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada bulan lepas atas kesalahan merokok dan tindakan pencegahan serta kawalan demam denggi.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, sebanyak 6,290 kompaun telah ditawarkan dengan nilai RM1,457,300.
"Sebanyak 22,361 premis telah dilawati dengan 10,051 notis kesalahan dikeluarkan," katanya dalam kenyataan mengenai pencapaian tindakan penguatkuasaan dan perundangan di bawah undang-undang kesihatan awam bagi Oktober 2023, hari ini.
Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 untuk tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 3,453 tawaran kompaun bernilai RM1,726,500 telah dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun.
Menurutnya sejumlah 385 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama, sebanyak 137 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM262,160.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 2.6 peratus atau 163 daripada 6,273 premis makanan yang diperiksa pada bulan lepas melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 akta sama.
"Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan," katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata KKM sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam
"Tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir diambil oleh KKM. Orang ramai serta semua pihak diminta menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum," katanya.
-- BERNAMA