9,011 suri rumah mendaftar i-Suri

Rahimah Abdullah
September 19, 2018 18:34 MYT
i-Suri juga katanya merupakan penghargaan kepada usaha dan penat lelah wanita suri rumah yang tidak berpeluang untuk menyertai pasaran kerja. - Gambar fail
Seramai 9,011 orang wanita telah menjadi ahli Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Untuk Suri Rumah (i-Suri) sehingga 12 September lalu, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan mengiktiraf peranan dimainkan golongan suri rumah yang merupakan ibu-ibu yang bertanggungjawab mendidik generasi akan datang.
“Saya ingin menyatakan bahawa Kerajaan mengambil berat terhadap golongan suri rumah dengan memperkenalkan satu inisiatif khas bagi memastikan keselamatan sosial mereka terjamin.
“Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Untuk Suri Rumah atau i-Suri yang telah diumumkan pada 8 Ogos 2018 adalah merupakan skim bantuan bersasar untuk menggalakkan surirumah menabung sebagai persediaan hari tua, ketika menghadapi kesusahan dan ditimpa musibah seperti perceraian, kematian suami, suami hilang upaya dan lain-lain kemungkinan,” katanya semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018 di PICC, di sini hari ini.
i-Suri juga katanya merupakan penghargaan kepada usaha dan penat lelah wanita suri rumah yang tidak berpeluang untuk menyertai pasaran kerja atas sebab-sebab yang mungkin tidak dapat dielakkan seperti atas keperluan menjaga ahli keluarga yang memerlukan jagaan rapi.
“Ini juga merupakan suatu usaha kita untuk memperkasa wanita agar membuat persediaan secukupnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” tambahnya.
Pelaksanaan skim i-Suri adalah antara janji dalam manifesto kerajaan semasa Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.
#i-Suri #keluarga #KWSP #Wan Azizah Wan Ismail #wanita
;