9,000 karton rokok seludup dirampas dari trak berdaftar di Malaysia
Bernama
Jun 5, 2017 20:04 MYT
Jun 5, 2017 20:04 MYT
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) merampas 9,000 karton rokok tidak dibayar duti dalam sebuah trak berdaftar di Malaysia pada 2 Jun lepas di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Dalam kenyataan hari ini ACA berkata dalam kejadian pada 9.30 malam itu, seorang pegawai mengarahkan pemandu trak itu seorang lelaki warga Malaysia berusia 33 tahun yang bersendirian, untuk pemeriksaan lanjut.
Semasa pemeriksaan itu, pegawai ICA menemukan rokok yang tidak dibayar cukai tersebut tersembunyi antara konsainan.
Menurutnya, pemandu trak, rokok seludup dan trak berkenaan kemudian diserahkan kepada Kastam Singapura untuk pemeriksaan.
ICA berkata kenderaan yang digunakan untuk melakukan kesalahan sedemikian boleh dirampas.
Jumlah duti dan Cukai Barang dan Perkhidmatan rokok berkenaan masing-masing kira-kira S$740,300 (S$1=RM3.10) dan S$54.630, menurut ICA.
-- BERNAMA