89 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Pahang

Bernama
Januari 19, 2021 13:39 MYT
Daerah Temerloh yang teruk dilanda banjir mencatatkan jumlah fasiliti paling banyak terjejas iaitu 25 buah termasuk 17 klinik desa, lima klinik kesihatan. - Gambar fail
KUANTAN: Sebanyak 89 fasiliti kesihatan di Pahang terjejas oleh banjir yang berlaku baru-baru ini dengan 16 daripadanya ditenggelami air, kata Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Bahari Awang Ngah.
Beliau berkata fasiliti yang dinaiki air ialah klinik kesihatan dan klinik desa di Temerloh, Bera, Lipis, Maran, Pekan serta Raub, manakala baki 73 lagi terputus hubungan apabila laluan terpaksa ditutup akibat ditenggelami air.
"Walaupun terjejas banjir, operasi fasiliti terlibat masih diteruskan dengan menumpang di klinik kesihatan atau klinik desa, masjid atau bangunan sekolah berhampiran supaya penduduk tidak terlepas temu janji penting atau dalam situasi kecemasan.
"Daerah Temerloh yang teruk dilanda banjir mencatatkan jumlah fasiliti paling banyak terjejas iaitu 25 buah termasuk 17 klinik desa, lima klinik kesihatan dan sebuah makmal pemakanan di Mentakab," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Dr Bahari juga memaklumkan sepanjang banjir melanda, 97 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) turut menjadi mangsa banjir manakala 410 orang lagi berdepan masalah untuk keluar bertugas kerana laluan terputus hubungan.
Mereka yang terputus hubungan bagaimanapun kekal berkhidmat sama ada di lokasi penugasan asal atau melaporkan diri di klinik kesihatan berhampiran, menjadikan jumlah kakitangan JKNP yang berkhidmat sepanjang banjir seramai 15,549 orang di seluruh negeri.
"Sepanjang banjir, kita juga menghantar pasukan perubatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan, menguruskan saringan kes COVID-19 manakala pasukan kesihatan bertugas memeriksa aspek kebersihan, memantau kualiti air minum dan menyiasat kejadian kes berjangkit jika ada, supaya langkah pencegahan boleh dilakukan segera.
"Bagi operasi pascabanjir, pasukan kesihatan akan meneruskan kerja seperti penilaian risiko penyakit bawaan air, menjalankan kerja pengklorinan sumber bekalan air dan memantau kebersihan premis makanan bagi menentukan premis terlibat selamat untuk beroperasi semula," katanya.
Menurutnya sepanjang banjir berlaku, sebanyak 20 pusat kuarantin mangsa banjir diwujudkan di seluruh Pahang bagi menempatkan kontak rapat COVID-19 sebagai langkah berwaspada dengan lima daripadanya, iaitu masing-masing satu di Lipis, Temerloh, dan Pekan serta dua di Jerantut, menerima 35 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat.
Sepanjang tempoh itu juga JKNP memantau keberadaan 91 individu kontak rapat yang menjalani kuarantin kendiri di rumah di lokasi berisiko banjir supaya operasi pemindahan mereka dapat dilakukan secepat mungkin jika keadaan memerlukan, katanya.
-- BERNAMA
#fasiliti kesihatan #kemudahan kesihatan #banjir #mangsa banjir #banjir pahang #Pengarah Kesihatan Pahang #Bahari Awang Ngah #kecemasan
;